Dua kelemahan sistem perolehan semasa negara - Ideas

Tangkap layar kenyataan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat dua kelemahan dalam sistem perolehan semasa negara iaitu hanya mendedahkan pembida yang menang beserta kos dan membenarkan kuasa budi bicara untuk rundingan terus.

Pengurus Unit Kewangan Awam Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Alissa Rode berkata, mekanisme itu tidak mencukupi untuk kebertanggungjawaban berkesan maka perlu ada pendedahan sepanjang kontrak berjalan.

“Apabila perubahan harga atau pengubahsuaian berlaku, ia akan memberikan maklumat untuk semak dan imbang yang lebih baik.

“Kuasa budi bicara untuk membenarkan rundingan terus perlu dimansuhkan namun sekiranya diperlukan, sebab-sebab hendaklah didedahkan dan diberikan justifikasi secara terbuka sebelum penganugerahan kontrak.

“Bagi kontrak pertahanan sensitif, kerajaan perlu memastikan pengawasan mencukupi walaupun memerlukan kerahsiaan yang boleh dicapai melalui pelaporan mandatori kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) pada 14 September lalu yang bersetuju dengan reformasi institusi bagi menambah baik tadbir urus dalam pelbagai aspek.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bertujuan memberikan rakyat akses kepada maklumat dari badan awam dan kerajaan selaras dengan usaha meningkatkan kemampanan tata kelola.

Tambah Alissa, kerajaan mesti menyelaraskan undang-undang dengan penanda aras antarabangsa seperti Model UNCITRAL mengenai perolehan awam dan mengguna pakai Piawaian Data Kontrak Terbuka untuk membendung rasuah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu ujarnya, Ideas mengalu-alukan kerajaan untuk mengkaji semula rangka kerja perundangan sedia mengenai tadbir urus korporat perusahaan milik negara.

“Terdapat keperluan untuk proses pelantikan pengarah yang lebih telus dan berasaskan merit, kerana tiada keperluan kualitatif yang ketat pada masa ini.

“Data Pantau Kuasa kami menunjukkan terdapat 238 pelantikan politik merentasi 72 badan berkanun persekutuan di bawah pentadbiran terdahulu, tidak termasuk pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Pembaharuan ini diperlukan untuk mengurangkan potensi penyalahgunaan dan konflik kepentingan, serta risiko pembaziran dan operasi yang tidak cekap dalam syarikat, yang kesemuanya berkhidmat untuk kepentingan awam,” katanya.