Wujudkan semula HOC

LBS yakin dapat bantu rakyat, rangsang sektor hartanah

A
A
A

HOCK GUAN
HOCK GUAN

LBS Bina Group Berhad (LBS) berharap Kerajaan Perpaduan dapat menimbang mewujudkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sebagai antara inisiatif dalam Belanjawan 2024 yang dijangka dibentangkan pada Oktober ini.

Harapan itu merupakan salah satu daripada tiga cadangan yang dikemukakan oleh LBS selaku pemain industri hartanah terkemuka di Malaysia yang mana kempen tersebut diyakini dapat membantu rakyat memiliki kediaman sendiri di samping merangsang pertumbuhan positif dalam sektor hartanah negara.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, pengenalan semula HOC itu dijangka akan mendorong lebih banyak permintaan perumahan dengan pilihan yang pelbagai pada harga berpatutan kepada pembeli seperti mana pelaksanaannya pada tahun 2019 sehingga 2021.

“LBS menyokong inisiatif kerajaan melaksanakan HOC pada 2019 yang telah mendapat sambutan menggalakkan sekali gus memacu permintaan pemilikan rumah serta mengurangkan bilangan hartanah tidak terjual dalam negara.

“Melalui HOC, para pembeli rumah pertama memperoleh manfaat pengurangan sebanyak 10 peratus dari harga pembelian rumah selain pengecualian duti setem untuk pembelian rumah kurang daripada RM1 juta," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Hock Guan, pelaksanaan semula HOC dan pengekalan kempen secara berterusan diyakini dalam membantu memastikan kelestarian sektor hartanah negara melalui sentimen permintaan yang berterusan.

Artikel Berkaitan:

Kos pematuhan

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan Kerajaan Perpaduan dapat mengkaji semula kos pematuhan pembangunan hartanah meliputi dasar, perundangan dan peraturan supaya dapat dikurangkan bagi mengekang lonjakan harga perumahan dan sektor hartanah negara.

Selain membantu mengawal kenaikan harga hartanah, ia turut mengurangkan beban kos para pemaju yang turut berhadapan kenaikan harga bahan mentah serta kesan-kesan lain susulan daripada situasi tersebut.

Hock Guan menunjukkan model pembangunan hartanah yang dilaksanakan oleh LBS.
Hock Guan menunjukkan model pembangunan hartanah yang dilaksanakan oleh LBS.

“Sebagai pemaju perumahan rakyat, LBS sendiri memberi tumpuan kepada segmen mampu milik dalam projek-projek pembangunan kami.

“Namun, para pemaju perlu menanggung kos pematuhan yang timbul seperti caj pembangunan, premium penukaran tanah atau permohonan hak milik strata,” jelasnya yang mana pengurangan kos tersebut boleh diterjemahkan semula oleh para pemaju melalui tawaran harga yang lebih berpatutan kepada para pembeli.

Melestarikan alam sekitar

Bagi melengkapkan agenda Kerajaan Perpaduan menyemarakkan inisiatif mesra alam sekitar serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE), Hock Guan berharap satu insentif dalam bentuk geran dapat ditawarkan kepada para pemaju.

Katanya, melalui cadangan insentif geran itu, ia boleh dilihat sebagai galakkan Kerajaan Perpaduan untuk menjadikan industri pembangunan hartanah di Malaysia lebih lestari.

Malah, cadangan itu diyakini mampu mendorong para pemaju hartanah tempatan untuk meneroka, mengguna serta meningkatkan aplikasi teknologi hijau dalam projek-projek pembangunan hartanah mereka.

Dalam perkembangan lain, Hock Guan turut menyokong saranan Kerajaan Perpaduan yang menggalakkan para pemaju menyediakan sasaran 200,000 unit perumahan pada harga RM300,000.

Menurutnya, saranan Kerajaan Perpaduan itu perlu diambil serius oleh para pemaju dengan mengambil kira jumlah sebenar rumah serta hartanah yang tidak terjual dalam negara.

Jelasnya, kenaikan kos sara hidup rakyat merupakan antara perkara utama yang mempengaruhi permintaan pasaran rumah dan hartanah tempatan.

“Sekiranya para pemaju meletakkan purata harga rumah pada nilai RM400,000 hingga RM900,000, mungkin tidak ramai individu membuat keputusan memiliki hartanah tetapi hanya meneruskan penyewaan.

“Oleh itu, insentif rumah dalam lingkungan harga RM300,000 seunit akan menggalakkan lebih ramai individu dan keluarga memiliki hartanah berbanding tinggal di rumah sewa. Kita percaya perbelanjaan bulanan pemilikan rumah dengan harga itu masih dalam kemampuan mereka," katanya.

Malah, Hock Guan turut menyifatkan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus akan memberi impak positif kepada sektor hartanah khususnya pada pemaju.

Komitmen dan ‘LBS Perks and Plusses’

Ditanya mengenai komitmen LBS dalam menyokong pemilikan perumahan dan hartanah tempatan, Hock Guan memberitahu bahawa pihaknya sentiasa berusaha menyediakan pengalaman yang terbaik kepada para pembeli berasaskan kepada tiga teras iaitu mampu milik, komuniti dan kesalinghubungan di antara satu sama lain.

LBS berusaha menyediakan hartanah yang terbaik kepada para pembeli berasaskan kepada tiga teras iaitu mampu milik, komuniti dan kesalinghubungan di antara satu sama lain.
LBS berusaha menyediakan hartanah yang terbaik kepada para pembeli berasaskan kepada tiga teras iaitu mampu milik, komuniti dan kesalinghubungan di antara satu sama lain.

Komitmen itu katanya, telah diterjemahkan melalui peningkatan inisiatif Program Kesetiaan Pelanggan 'LBS Perks and Plusses' yang dilancarkan pada Ogos lalu dengan membawa pembabitan pelanggan ke tahap yang lebih tinggi.

Program 'LBS Perks and Plusses' merupakan konsep yang direka khusus yang merevolusikan pengalaman pemilikan rumah dengan pemberian manfaat, kemudahan serta ganjaran berterusan dan tiada tandingan para pelanggan hartanah LBS.

Menurutnya, para pelanggan LBS akan memperoleh pelbagai keistimewaan seperti program rujukan, rebat tunai untuk pembelian rumah kedua, keutamaan akses kepada pelancaran projek baharu, penyenaraian hartanah eksklusif, ganjaran pembelian awal dan jemputan ke acara berkaitan sebagai tanda penghargaan.

“Keahlian program ini merupakan pelengkap kepada mana-mana individu atau korporat yang telah membeli hartanah LBS dan anak-anak syarikatnya dengan harga pembelian minimum RM150,000.

“Malah, mereka turut berpeluang untuk menyertai kempen ‘LBS Fabulous Extra 2022-23’ dan memenangi hadiah menarik bernilai sehingga RM1.5 juta,” kata Hock Guan.

Program ‘LBS Perks and Plusses' turut membabitkan kerjasama daripada 26 rakan kongsi strategik dari pelbagai industri bagi merealisasikan hasrat LBS untuk membawa program kesetiaan pelanggan ke tahap yang lebih tinggi.

Antara rakan kongsi strategik yang terlibat dalam ‘LBS Perks and Plusses' selain menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan mereka ialah Acson, Brynton Hotel, Bright Empire Hotpot, Blanc Dental, Coway, Columbia Asia Hospital, D'Marina Marketing, Decathlon, Everybody Electrical dan Gintell.

Turut serta ialah Goodnite International, Hypergear, Hospital Mata Tun Hussein Onn, Kiddocare, Karangkraf, Lifecare, Mamee, Metroflex, M3 Mall, OMS Kitchen, Panama, Scapes Hotel, The Gigabit, Watsons, Perfect Companion dan ZUS Coffee.

Untuk maklumat lanjut serta cara untuk memanfaatkan program ini 'LBS Perks and Plusses', sila layari laman sesawang, https://rewards.lbs.com.my/