Reformasi ke arah kebaikan terus mekar - Amirudin

PETALING JAYA - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas pihak tertentu yang mengatakan perjuangan reformasi yang dibawa parti itu sejak 25 tahun lepas telah terkubur.
Sebaliknya, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, titik perubahan dan reformasi yang dibawa PKR masih terus dilaksanakan biarpun terdapat beberapa "perkembangan yang menjadi persoalan” di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
"Sebenarnya orang-orang ini sangat takut dan bimbang dengan reformasi dan tak mahu ia terus berlaku,” katanya pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan PKR Selangor 2023 di sini malam Rabu.
Amirudin percaya reformasi ke arah kebaikan akan terus mekar dan berkobar-kobar dalam hati rakyat Malaysia dan ia tidak akan mati, sebagaimana reformasi yang berlaku di seluruh dunia.