Haslihelmy nekad bertanding di DUN Pelangai

Haslihelmy
Haslihelmy
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Presiden Pertubuhan Anak Suara Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli nekad untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober depan.

Beliau memaklumkan sudah melengkapkan borang pencalonan pada 16 September lalu dan hanya menunggu masa untuk penamaan calon pada Sabtu ini.

Menurutnya, walaupun ramai yang mengatakan beliau bakal tewas, namun ia langsung tidak memberi kesan kepadanya.

"Saya yakin dengan sokongan yang sedia ada di Pelangai. Sejak mula saya menawarkan diri (bertanding) ramai pengundi di Pelangai menghubungi dan mahu membantu saya (dalam kempen).

"Pada waktu yang sama, saya (turut) diajak berbincang oleh beberapa pihak (yang tidak dinamakan) yang menentang BN (Barisan Nasional) supaya hasrat ini diteruskan," katanya pada Selasa.

Haslihelmy merupakan seorang ahli perniagaan juga anak jati kelahiran Pelangai berpendapat, pengundi mahukan seorang anak tempatan mewakili suara mereka di DUN.

"Mereka memberi keyakinan bahawa penglibatan dirinya dalam PRK Pelangai membuktikan ramai pemimpin muda sepatutnya diberi peluang untuk menjadi pemimpin dalam kerajaan sepertimana yang mereka telah buktikan," ujarnya.

Sebelum ini, Haslihelmy sudah 15 tahun dalam UMNO pernah menawarkan diri bertanding sebagai ketua Pemuda Umno Bentong.

Artikel Berkaitan:

Beliau antara individu yang aktif dalam membawa suara anak muda di negeri ini.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).