Mitra agih sepenuhnya peruntukan RM100 juta - Ramanan

Ramanan. (Kredit: Awani).
Ramanan. (Kredit: Awani).
A
A
A
PUTRAJAYA - Peruntukan RM100 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) menerusi Belanjawan 2023 telah diagihkan sepenuhnya dan memanfaatkan lebih 100,000 orang, kata Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra, Datuk R Ramanan.

"Pengagihan 100 peratus ini adalah pertama kali (dicapai) sejak 2016," katanya pada sidang media di sini pada Rabu yang menurutnya peruntukan sebanyak RM100 juta masing-masing pada 2016 dan 2017 mencapai pengagihan 35 peratus dan 57 peratus.

Ramanan dalam pada itu berkata, Mitra dalam proses menyediakan dokumen penyaluran dana untuk program Pembasmian Miskin Tegar Mitra untuk ahli isi rumah berbangsa India yang akan dilaksanakan secara berfasa.

"Pelaksanaan fasa pertama akan memberi tumpuan kepada masyarakat India miskin tegar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan seramai 1,800 ahli isi rumah telah dikenal pasti melalui sistem e-kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)," katanya.



Ramanan berkata, pendapatan per kapita golongan berkenaan adalah kurang daripada RM339 dan ia harus ditingkatkan supaya mereka keluar dari kategori miskin tegar.

Beliau berkata, Mitra akan memastikan penyaluran dana adalah telus dengan setiap penerima dana untuk program akan dimuat naik dalam laman Mitra untuk mengelakkan kekeliruan.
Artikel Berkaitan:


Mengenai Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan bulan hadapan, Ramanan berkata, beliau yakin peruntukan yang lebih banyak untuk masyarakat India akan diberikan memandangkan dana RM100 juta telah diagihkan sepenuhnya bagi tahun ini.

Mitra ialah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mereformasi dasar pembangunan sosioekonomi masyarakat India untuk berada seiring dengan masyarakat lain di Malaysia. - Bernama