Permohonan subsidi yuran IPT masih dibuka - Mitra

Mitra masih lagi membuka permohonan bagi subsidi bayaran yuran semester sekali bayar sebanyak RM2,000 sehingga 15 September ini. - Gambar hiasan
Mitra masih lagi membuka permohonan bagi subsidi bayaran yuran semester sekali bayar sebanyak RM2,000 sehingga 15 September ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) masih lagi membuka permohonan bagi subsidi bayaran yuran semester sekali bayar sebanyak RM2,000 sehingga 15 September ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra, Datuk R Ramanan.

Bantuan itu menyasarkan 10,000 pelajar dalam pengajian tahun kedua, ketiga atau tahun akhir pengajian ijazah sarjana muda tidak kira penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), katanya.

Pada sidang media mengenai status program di bawah Mitra di sini pada Jumaat, Ramanan berkata, sebanyak 8,583 permohonan telah diterima setakat 31 Ogos sejak permohonan dibuka pada Mei lepas dan sebahagiannya telah diproses serta dana telah dikreditkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pelajar.

"Syaratnya amat mudah iaitu terdiri daripada golongan B40 dan merupakan pelajar dengan status aktif di institusi pengajian tinggi,” katanya menambah permohonan boleh dibuat menerusi https://www.mitra.gov.my/index.php/bm/utama.

Mengenai subsidi dialisis Mitra yang menyasarkan 900 pesakit buah pinggang kronik, Ramanan berkata, Mitra telah menerima permohonan daripada 135 pusat dialisis melibatkan 749 pesakit dan 813 permohonan daripada individu sehingga tarikh tutup pada 30 Ogos lepas.

Sehingga 1 September, sebanyak 19 pusat dialisis yang melibatkan 140 pesakit telah diberi kelulusan dana sejumlah RM1.08 juta.

Secara keseluruhan, subsidi dialisis Mitra melibatkan peruntukan RM8.64 juta meliputi bayaran subsidi RM200 untuk satu sesi dialisis. Bantuan subsidi tersebut adalah untuk bayaran empat kali sebulan selama setahun.

"Pengagihan dana bagi inisiatif ini agak perlahan kerana terdapat beberapa kekangan pihak Mitra hadapi antaranya menerima permohonan sebanyak dua kali dan pemohon pula merupakan penerima bantuan dialisis dari agensi lain dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Proses semakan dan penilaian secara terperinci sedang dilaksanakan untuk mengelakkan bayaran berulang dan baki bantuan dijangka disalurkan pada bulan ini secara berperingkat,” kata Ramanan.

Bagi program Operasi Dron dan Servis Data dan ‘Electrified Automation Advancement Programme’ (EAAP) yang membabitkan kos RM4.3 juta pula, Ramanan berkata, lebih 500 belia India telah membuat permohonan dan kesemua mereka akan disaring kelayakan sebelum mula menjalani latihan hujung bulan ini.

Mengenai Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan melibatkan dana RM10.8 juta, Ramanan berkata, sehingga 31 Ogos, Mitra telah menandatangani 107 dokumen perjanjian melibatkan 107 tadika dan sedang dalam proses bayaran untuk baki 38 tadika.

Secara keseluruhannya, program berkenaan melibatkan 145 tadika dan 3,916 kanak-kanak, yang akan menerima subsidi bernilai RM200 sebulan meliputi yuran tadika dan sarapan pagi untuk 12 bulan serta dibayar terus kepada pengusaha tadika. - Bernama