Anwar adakan perjumpaan bersama ahli Parlimen komuniti India PN

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk menokhtahkan kemiskinan tegar di negara ini, termasuk dalam kalangan masyarakat India yang disifatkan antara kaum yang paling miskin di Semenanjung.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K.Saraswathy berkata, perkara itu disuarakan Anwar semasa Perbincangan Bersama Perdana Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen Komuniti India Kerajaan Perpaduan, di Bangunan Parlimen di sini, pada Khamis.

"Sementara menumpukan perhatian untuk menoktahkan kemiskinan tegar semua kaum, komuniti India juga harus diberi perhatian supaya hasrat kerajaan Madani untuk memberi peluang yang saksama kepada semua pihak.

"Ini satu mesej daripada Perdana Menteri, bahawa tiada sesiapa pun harus dipinggirkan dalam arus pembangunan negara,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas pertemuan itu.

Turut hadir dalam pertemuan itu Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran; Senator Datuk Nelson Renganathan; Senator Datuk C Sivaraj dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Sementara itu Ramanan berkata, Perdana Menteri memaklumkan telah membuat satu kajian mengenai hala tuju masyarakat India di negara ini, dalam usaha menjaga kebajikan kaum itu bagi jangka masa panjang.

"Dalam pertemuan satu jam itu, Perdana Menteri telah memberi maklumat agak terperinci dan apa keinginan beliau terhadap pemimpin masyarakat India. Isu Mitra pun dibangkitkan, kami telah selesai satu taklimat kepada Perdana Menteri dan hantarkan laporan kami,” katanya.

Ramanan berkata, Anwar juga telah mendengar semua pandangan pemimpin India, yang meliputi pelbagai perkara selain turut membincangkan isu berkaitan pendidikan, kemiskinan, kewarganegaraan dan Pelan Tindakan Masyarakat India.- Bernama