RM250,000 baik pulih siling, struktur reput Masjid Lama Machap

Hee Sam menunjukkan Masjid Lama Machap yang berusia lebih 100 tahun dan perlu segera dibaik pulih.
Hee Sam menunjukkan Masjid Lama Machap yang berusia lebih 100 tahun dan perlu segera dibaik pulih.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Tourism Melaka meluluskan peruntukan RM250,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih Masjid Lama Machap.

Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, berkata, usaha tersebut mampu menjadikan masjid lama itu sebagai lokasi tarikan pelancong di kawasan luar bandar sekali gus mempromosikan produk pelancongan di negeri itu.

Menurutnya, masjid warisan yang diletakkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 bukan sahaja mempunyai sejarah seni bina yang istimewa, malah pembinaannya menterjemahkan konsep perpaduan apabila turut mendapat sumbangan kaum Tiong Hua bagi mewujudkan kemudahan untuk orang Islam.

Tambahnya, keistimewaan masjid yang terletak bersebelahan kawasan Empangan Durian Tunggal itu terdapat 'plaque' bertulisan Cina dan lukisan pada dinding masjid yang jarang ditemui pada masjid lain di negeri ini.

"Saya difahamkan ia kini dalam proses sebut harga tender baik pulih untuk kerja-kerja mengecat semula bangunan, membaiki kerosakan siling dan beberapa kerosakan lain.

Siling bahagian ruang solat runtuh baru-baru ini dipercayai dimakan anai-anai.
Siling bahagian ruang solat runtuh baru-baru ini dipercayai dimakan anai-anai.

"Kita berharap kerja-kerja tersebut dapat dijalankan segera supaya masjid berusia lebih 100 tahun itu selamat dikunjungi pelancong dan jemaah yang terdiri daripada penduduk tempatan," katanya ketika membuat tinjauan di Masjid Lama Machap, di sini pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati siling di bahagian tengah ruang solat telah runtuh dimakan anai- anai sekali gus boleh mendatangkan risiko kepada pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beberapa struktur atas bangunan berkenaan juga telah reput dan menunggu masa untuk jatuh ke lantai.

Sementara itu, pengunjung Sufian Ismail, 44, berkata, dia sering beriktikaf di masjid lama itu namun runtuhan siling yang berlaku di ruang solat boleh mengundang risiko kepada orang lain.

Sufian Ismail
Sufian Ismail

"Bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini selain ruang solat akan dibasahi hujan disebabkan siling runtuh dan bocor secara tidak langsung memberi ketidakselesaan kepada pengunjung," ujarnya.