RM500 juta diperuntuk melalui IKR, baik pulih projek kecil - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memperuntukan sebanyak RM500 juta melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) sebagai salah satu usaha membantu orang ramai melalui penambahbaikan insfrastruktur kecil awam.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, IKR membolehkan rakyat memaklumkan secara terus mengenai keperluan projek infrastruktur kecil awam di kawasan kediaman masing-masing kepada Kementerian Ekonomi dengan kos projek tidak melebihi RM200,000.

Melalui peruntukan tersebut, Rafizi berkata, IKR dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 2,500 projek kemudahan rakyat di seluruh negara.

Ia antaranya termasuk projek baharu dan baik pulih kemudahan asas awam seperti tandas, surau atau lif yang tidak melebihi jumlah yang ditetapkan, tambah Rafizi.

“Tetapi kita harapkan permohonan yang masuk akal, misalnya RM50,000 (kos projek). Jadi itu akan memanfaatkan jauh lebih baik (bilangan) projek.

“Ia juga bergantung kepada tempat-tempat dan projek. Kalau boleh kita gandakan (2,500 projek), kita jangka 5,000 projek seluruh negara dalam tempoh dua atau tiga bulan ini,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan IKR.

Jelas Rafizi lagi, IKR merupakan bantuan Kerajaan Persekutuan dan bertujuan mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam yang terletak di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pelaksanaan IKR juga, jelas beliau bertujuan membantu kontraktor-kontraktor kecil seluruh negara yang akan mendapat manfaat daripada projek-projek terbabit. - Awani