PSG meniti proses kematangan di Liga Juara-Juara

Luis Enrique - Foto Agensi
Luis Enrique - Foto Agensi
A
A
A

KETAASUBAN untuk memenangi Liga Juara-Juara hanya akan mencederakan Paris Saint-Germain (PSG), kata pengendali Luis Enrique sebelum juara Perancis itu membuka gelanggang peringkat kumpulan H berdepan sensasi Jerman Borussia Dortmund di Parc des Princes, Paris.

PSG telah menjadi kelab paling berjaya di Perancis sejak Qatar Sports Investments mengambil alih pada 2011, memenangi liga sebanyak sembilan kali.

Malah Les Parisiens juga telah berjaya dalam pertandingan piala domestik Perancis, namun gagal memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara.

Juara Perancis itu melancarkan semula usaha untuk merebut trofi menentang Dortmund dalam perlawanan pembukaan kumpulan sukar - yang turut menampilkan kelab Inggeris, Newcastle United dan pemenang tujuh kali AC Milan dari Itali.

“Apabila sebuah kelab taksub dengan sesuatu, ia bukanlah satu petanda yang baik. Anda perlu mempunyai cita-cita tetapi obsesi tidak berfungsi dalam mana-mana bidang kehidupan.

“Anda perlu tunggu dan lihat bagaimana kejuaraan itu berjalan, bola sepak adalah sukan yang hebat, apa-apa keputusan adalah mungkin.

“Anda boleh bermain permainan yang luar biasa dan kalah, bermain teruk dan menang. Sebagai sebuah kelab, kami bermain semua pertandingan untuk memenanginya, itulah objektifnya. Ia sangat bercita-cita tinggi tetapi ia perlu,” kata Luis Enrique kepada pemberita menjelang perlawanan di Paris.

Dalam pada itu, pemain pertahanan dan kapten kelab Marquinhos menyuarakan sentimen pengendalinya, berkata: “Liga Juara bukan obsesi, tiada tekanan.

Artikel Berkaitan:

“Kami bekerja kerana kami adalah pesaing, dan kelab berazam untuk memenangi setiap pertandingan, termasuk yang ini. Kami tahu laluannya, ia adalah satu jalan yang panjang.

“Kami perlu mengambil langkah demi langkah, ia adalah persaingan yang sangat sukar untuk diikuti.”

PSG, kelima dalam kedudukan Ligue 1 dengan lapan mata selepas lima perlawanan, mempunyai permulaan tidak menentu di bawah Luis Enrique, memenangi dua daripada lima perlawanan liga mereka.

Mereka dikalahkan 3-2 oleh Nice pada Jumaat, tetapi Enrique berkata jatuh bangun pada awal musim merupakan satu proses kematangan.

“Terdapat banyak maklumat untuk disampaikan, idea dan konsep yang perlu diasimilasikan oleh pemain. Saya dapati pasukan sangat terbuka.

“Peminat luar biasa. Sokongan mereka sangat hebat, walaupun keputusannya tidak memuaskan.

“Saya sudah mempunyai pengalaman ini, proses ini memerlukan masa... Saya rasa tenang, akan ada bola sepak yang baik dan keputusan yang baik, saya pasti,” kata pengendali Sepanyol itu.