Kaki ponteng puasa buat panggilan tempah makanan

Syeikh Azhari (kanan) menasihatkan seorang pemuda yang tidak sempat melarikan diri ketika serbuan di Mergong, di sini, hari ini.
Syeikh Azhari (kanan) menasihatkan seorang pemuda yang tidak sempat melarikan diri ketika serbuan di Mergong, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Terdapat kaki ponteng puasa yang mengambil kesempatan membuat tempahan makanan hanya dengan mendail nombor telefon pihak tertentu untuk mendapatkan makanan.

Itu pengakuan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang ditangkap di sebuah pondok berdekatan Lorong Titi Siam, di sini, dalam Operasi Ramadan bermula jam 10 pagi hingga 1 petang, hari ini.

Ketika serbuan, lelaki tersebut yang bekerja dengan sebuah syarikat konsesi mendakwa sedang berehat bersama isterinya di pondok terbabit selepas mendapatkan rawatan sakit gigi untuk anak lelakinya.

Pihak penguatkuasa menjumpai beberapa bungkusan makanan berada atas tempat duduk di pondok itu, yang mana ia belum sempat dimakan lelaki terbabit.

Syeikh Azhari (kiri) sedang menyoal seorang lelaki dalam serbuan di sebuah pondok di Lorong Titi Siam, di sini, hari ini.
Syeikh Azhari (kiri) sedang menyoal seorang lelaki dalam serbuan di sebuah pondok di Lorong Titi Siam, di sini, hari ini.

Ketika ditanya, lelaki itu mengakui bekalan makanan dan juga rokok itu dibeli dengan hanya menghubungi nombor yang diberikan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) termasuklah Pejabat Agama Daerah Kota Setar

Operasi yang disertai 25 anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) termasuklah Pejabat Agama Daerah Kota Setar itu bertindak atas maklumat dan aduan orang ramai mengenai aktiviti ponteng puasa ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam operasi berasingan, seorang lelaki telah ditinggalkan oleh rakannya apabila mengetahui pihak berkuasa menjalankan operasi di sebuah kedai makan di Mergong, di sini.

Syeikh Azhari
Syeikh Azhari

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang Syariah JHEAIK, Syeikh Azhari Mohamad berkata, serbuan dijalankan di enam premis sekitar Bandaraya Alor Setar.

Syeikh Azhari berkata, operasi mendapati beberapa premis dijadikan sebagai tempat untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Melalui pemeriksaan, kita dapati ada beberapa individu di dua lokasi serbuan, namun tidak membuat sebarang penahanan memandangkan lebih mengambil pendekatan menasihati mereka," katanya.

Syeikh Azhari turut menasihatkan peniaga agar tidak lagi mengulangi perbuatan dengan menjual makanan kepada kaki ponteng puasa.

Menurutnya, pihaknya mendapati bilangan kaki ponteng puasa yang dicekup tidak berpuasa pada Ramadan kali ini berkurangan berbanding sebelum ini.

"Sehingga kini, pihak kami mengeluarkan lima notis saman mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan di khalayak ramai di bulan puasa berbanding 12 notis dalam tempoh sama tahun lepas," katanya.

Syeikh Azhari berkata, situasi berkenaan menunjukkan tahap kesedaran orang awam supaya tidak meninggalkan amalan puasa makin meningkat susulan bilangan notis dikeluarkan makin kurang.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan mengadakan pemeriksaan berterusan demi mencegah orang awam daripada makan di khalayak umum ketika bulan Ramadan.