Mayat ditikam 18 kali ditemui hampir reput

Mayat lelaki tanpa identiti dengan 18 kesan tikam ditemui di tepi jalan kebun sawit, Ladang Gadek, Kemuning Sabtu lalu.
Mayat lelaki tanpa identiti dengan 18 kesan tikam ditemui di tepi jalan kebun sawit, Ladang Gadek, Kemuning Sabtu lalu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Mayat hampir reput tanpa identiti ditemukan orang awam di tepi jalan kebun sawit, Ladang Gadek, Kemuning deka sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa yang ditemui kira-kira jam 10 pagi itu dipercayai ditikam beberapa kali dengan senjata tajam sebelum meninggal dunia.

Menurutnya, tulang kepala mangsa juga mengalami retak pada bahagian sebelah kiri, tulang rahang retak di beberapa bahagian selain dua tulang leher, tulang tangan kanan, tulang lutut dan kaki patah.

"Dipercayai terdapat 18 kesan luka tajam di bahagian leher, dada, serta kedua-dua belah kaki dan tangan.

"Unit Forensik Hospital Alor Gajah mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan parah disebabkan objek tajam termasuk pada bahagian leher dan dada," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di kawasan sekitar mangsa ditemui dan pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan identiti sebenar sehingga mendapat keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan ke atas ahli keluarga mangsa.

Beliau berkata, sebelum ini satu laporan polis telah dibuat sebuah keluarga di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin berhubung kehilangan seorang lelaki tempatan, bagaimanapun setakat ini pihaknya tidak mahu mengaitkan kes itu dengan kehilangan mangsa.

"Pada asalnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian menyiarkan mengenai luluh hati seorang ibu apabila dimaklumkan mengenai penemuan mayat dibunuh dan dibakar dipercayai anaknya di kawasan Hutan Percha, di sini minggu lalu.

Vathma, 55, berkata, walaupun polis belum mengesahkan itu adalah mayat anaknya, R Darvnrajh, 24, yang dilaporkan hilang sejak 10 September lalu, namun menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, Vathma mengakui lelaki yang dipukul tiga individu lain itu merupakan anaknya.