Fasiliti kesihatan swasta dibenar ambil jururawat asing

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini memberi kelonggaran terhadap kriteria pengambilan Jururawat Terlatih Warga Asing (JTWA) untuk fasiliti kesihatan swasta.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia termasuklah bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, JTWA perlu menduduki ujian kelayakan yang dikendalikan oleh Lembaga Jururawat Malaysia sebelum dibenarkan berkhidmat di negara ini.

"Pengambilan JTWA adalah sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Oktober ini sehingga 30 September tahun depan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA.

"Perkara ini akan dinilai semula berdasarkan keadaan dan keperluan semasa," katanya.

Tambah beliau, keputusan tersebut telah disambut baik oleh industri perubatan swasta kerana ia dapat membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka.

Dengan langkah itu katanya, fasiliti kesihatan swasta juga akan lebih bersedia untuk menyokong KKM dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan rakyat, melalui jalinan kerjasama awam-swasta.

Artikel Berkaitan:

"KKM menjangkakan langkah ini memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan, dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara," ujarnya.

Menurutnya, isu kekurangan tenaga kerja jururawat di kedua-dua sektor awam dan swasta memberi kesan yang besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan secara efektif di negara ini.

Jelasnya, perkara tersebut telah lama dibangkitkan oleh pelbagai persatuan dalam rangkaian industri perubatan swasta dan penyelesaian terhadap masalah terbabit harus segera diatasi.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, KKM tetap memberi keutamaan kepada kebajikan dan prospek kerjaya jururawat tempatan yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada seluruh rakyat.

Sehubungan itu, kementerian akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari institut pengajian tinggi awam dan swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.

"Langkah ini diambil untuk mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara," katanya sambil berharap semua fasilti kesihatan swasta akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.