Kekurangan doktor: Pegawai perubatan ditempatkan berperingkat

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah akan ditempatkan secara berperingkat dalam usaha penyelesaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani isu kekurangan doktor di fasiliti tertentu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 pegawai perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember depan.

"Oleh yang demikian, seramai 675 pegawai perubatan akan diagihkan segera mulai Julai diikuti dengan seramai 1,150 pegawai lagi pada Ogos," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian menjelaskan mengenai kekosongan jawatan doktor kontrak berikutan pelantikan tetap di dalam perkhidmatan awam.

Selaras dengan kekosongan jawatan pada tahun ini, seramai 4,914 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Jumlah itu merangkumi seramai 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan sebanyak 316 pegawai farmasi.

Daripada jumlah tersebut, seramai 4,907 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak telah melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) SPA manakala tujuh pegawai perubatan telah menolak pelantikan tetap tersebut.

Ujar Dr Zaliha, sehingga pelaksanaan Fasa 4, seramai 3,405 pegawai perubatan telah memilih penempatan.

"Kesemua jawatan tetap di Semenanjung telah dipilih sepenuhnya manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.

Ujar beliau, kesemua kekosongan jawatan itu akan ditawarkan kepada calon simpanan.

"Dalam urusan pengambilan tetap pada kali ini, KKM telah menerima lebih 1,000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa," katanya.

Antara alasan yang diberikan adalah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga, tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak, Labuan, kerana menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan serta pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran.