KKM bakal lantik enam 'Duta Kenali Ubat Anda' OKU

Dr Zaliha menyampaikan sijil pelantikan Mohammad Huzaifah pada Majlis Perasmian Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 untuk OKU Penglihatan, Pendengaran dan Pertuturan di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Zaliha menyampaikan sijil pelantikan Mohammad Huzaifah pada Majlis Perasmian Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 untuk OKU Penglihatan, Pendengaran dan Pertuturan di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam Duta Kenali Ubat Anda akan dilantik dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) bagi memberikan informasi tepat tentang ubat-ubatan kepada golongan OKU penglihatan serta pendengaran dan pertuturan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, individu yang dipilih perlu menjalani latihan berstruktur dan komprehensif supaya lebih memahami dan dapat berkongsi maklumat asas mengenai ubat-ubatan kepada komuniti masing-masing.

Beliau berkata, duta berkenaan akan bertindak sebagai ejen kesihatan komuniti untuk membantu KKM mendidik komuniti OKU masing-masing.

"Ini merupakan komitmen KKM dalam memastikan semua masyarakat Malaysia mendapat hak dan informasi yang tepat dan sahih tentang kesihatan, terutamanya berkenaan penggunaan ubat secara rasional," katanya ketika merasmikan Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan 2023 di sini pada Selasa.

Duta tersebut akan dipilih daripada Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM), Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), katanya.

"Duta-duta ini akan berkongsi dengan komuniti masing-masing mengenai kepentingan mengambil ubat berdaftar, cara pengambilan ubat yang betul, cara penyampaian ubat yang betul, waspada pembelian ubat dalam talian dan mendapatkan nasihat ahli farmasi jika ada isu berkaitan ubat-ubatan," katanya.

Program duta untuk OKU itu adalah susulan kejayaan program Duta Kenali Ubat Anda yang dilancarkan pada 2012 yang melibatkan wakil masyarakat berpengaruh.

Sejak pelancarannya, bilangan duta yang dilatih telah meningkat kepada 1,775 orang pada 2022 daripada 145 pada 2012.

Siti Huraizah Ruslan, 39, daripada MAB berkata, program itu dapat membantu OKU penglihatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut memandangkan kaunter ubat yang sesak di hospital dan klinik kesihatan membataskan interaksi antara golongan itu dengan ahli farmasi.

"Jadi dengan OKU sendiri dilantik menjadi duta maka itu memudahkan maklumat berkaitan ubat-ubatan disampaikan cepat dan meluas kepada komuniti masing-masing, supaya mereka tahu cara pengambilan yang betul dan selamat," katanya.

Bagi Presiden MFD, Mohammad Sazali Shaari, 65, berkata, OKU pendengaran dan pertuturan sukar memahami cara pengambilan ubat-ubatan yang pelbagai jenis, memandangkan golongan tersebut hanya mampu membaca.

"OKU pendengaran dan pertuturan sukar untuk mendapatkan penerangan lanjut mengenai ubat-ubatan contohnya tentang cara pengambilan kerana ubat lain mempunyai cara pengambilan yang lain.

"Jadi dengan menjadi duta kepada komuniti, kita dapat mengenali cara penggunaan ubat dengan betul melalui bahasa isyarat," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar jurubahasa isyarat ditempatkan di fasiliti kesihatan bagi melancarkan komunikasi antara petugas kesihatan dengan OKU pendengaran dan pertuturan. - Bernam