8,272 syarikat pegang sijil halal

Mohd Na'im - Foto Bernama
Mohd Na'im - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 8,272 syarikat di negara ini direkodkan memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi semua kategori industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai SPHM pula sebanyak 7,306 syarikat iaitu 88.32 peratus daripada keseluruhan jumlah pemegang yang aktif.

"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 3,270 syarikat iaitu 39.53 peratus merupakan pemegang SPHM kategori syarikat bumiputera," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Mohd Na'im menjelaskan, bagi kategori usahawan sistem pendaftaran pemohon SPHM adalah berdasarkan maklumat pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Justeru, katanya, data yang boleh diperoleh hanya meliputi status pemilikan bumiputera, bukan bumiputera atau pemilikan warga asing dan kategori industri sama ada mikro, kecil, kecil sederhana dan multinasional manakala tiada maklumat kategori jantina didaftarkan.

"Daripada beberapa Mesyuarat Jemaah Menteri dan mesyuarat antara kementerian yang telah diadakan, persetujuan dan ketetapan telah dicapai agar Halal Development Corporation Berhad (HDC) memainkan peranan penting.

"Untuk memberi penumpuan terhadap latihan dan bimbingan industri bagi memastikan industri bersedia untuk memohon SPHM," tambahnya.

Malahan, Mohd Na'im memaklumkan, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) juga sentiasa mengadakan kerjasama dan libat urus dengan semua agensi bimbingan usahawan di bawah kementerian yang melaksanakan fasilitasi, dari aspek piawaian dan prosedur pensijilan halal termasuk tatacara permohonan halal bagi menambah baik tatakelola terhadap industri PKS.

Artikel Berkaitan:

"Selain sesi fasilitasi dalam kelompok yang besar, Jakim juga kerap mengadakan fasilitasi secara berfokus dengan mana-mana syarikat yang menghadapi masalah dalam pensijilan halal, sama ada di peringkat pra permohonan, semasa dan pasca pensijilan halal melalui pewujudan Seksyen Advokasi di Bahagian Pengurusan Halal, Jakim," ujarnya.