Sijil Halal: Keputusan permohonan wajib diberi dalam tempoh 30 hari bekerja

Ahmad Zahid ketika berucap pada Halal Sector Forum 2023 ‘’Resiliency of Halal Sectors Towards National Socio-Economy’’ di MITEC pada Rabu. - Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika berucap pada Halal Sector Forum 2023 ‘’Resiliency of Halal Sectors Towards National Socio-Economy’’ di MITEC pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan bagi setiap permohonan untuk mendapatkan sijil halal, wajib diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja dan tiada alasan untuk ia dilewatkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, beliau ada mendengar rungutan yang mendakwa proses permohonan itu mengambil tempoh dari sembilan bulan sehingga dua tahun, malah ada yang hanya mendapat maklum balas permohonan tidak diluluskan selepas dua tahun.

"Laporan yang saya terima daripada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memperlihatkan bahawa mereka telah mengambil beberapa langkah proaktif dan keputusan kelulusannya telah dipercepatkan. Maklumat itu mungkin hanya maklumat di atas kertas, tetapi di luar sana masih terdapat rungutan.

"Harus ada keterlangsungan di antara proses memperbaiki dan mempercepatkan pengeluaran sijil itu,” katanya dalam ucaptama majlis Halal Sector Forum 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut mahukan supaya bengkel pensijilan halal diadakan tiga kali setahun bagi menyegerakan pengeluaran sijil halal kepada pemohon baharu dan mereka yang ingin memperbaharui sijil.

Pada masa sama, beliau berkata, prosedur bagi memperolehi sijil halal juga perlu dipermudahkan supaya tidak menyusahkan pemohon dan perkara itu boleh dilakukan sekiranya terdapat kerjasama antara kumpulan agama dan pakar serta pemain industri halal.

"Kita harus keluar daripada kepompong bekerja secara silo,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, bagi menentukan pembaharuan pensijilan halal, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah menawarkan kursus dengan silibus berdasarkan cadangan JAKIM khususnya dalam bidang halal.

Artikel Berkaitan:

Menerusi inisiatif itu beliau berkata Mara, melalui Giatmara dan beberapa TVET lain diminta untuk menghasilkan lebih ramai juruaudit halal di dalam industri yang mengeluarkan produk halal.

Malah, katanya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga telah mewujudkan kursus yang berkaitan industri halal di peringkat Ijazah, Sarjana dan Doktor falsafah (PhD).

"Maka saya minta syarikat multinasional (MNC) serta syarikat besar terutama produk berasaskan eksport atau pekilang harus mengambil juruaudit halal menentukan piawaian dan tatacara halal ini dapat diikuti berdasarkan khidmat nasihat dan pandangan professional juruaudit ini.

"Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan, berdasarkan saranan Perdana Menteri bahawa langkah-langkah sinergi harus dilakukan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Halal Development Corporation Berhad (HDC), JAKIM, Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan MARA agar penyelarasan dapat dilakukan segera.

Ahmad Zahid berkata, beliau memberikan tempoh hingga 3 Oktober ini untuk melaksanakan usaha-usaha itu sebelum beliau mempengerusikan Majlis Pembangunan Halal Malaysia.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa melawat tapak pameran Halal Sector Forum 2023 serta menyaksikan Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di pempamer Mara. - Bernama