Terengganu tundukkan Selangor, bawa bekalan dua gol

TERENGGANU FC membawa bekalan dua gol untuk aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.
Tuan rumah jelas menguasai perlawanan pada separuh masa menerusi deretan peluang terhidang dan hampir membuka tirai jaringan menerusi Ivan Mamut pada minit ke-23 selepas menerima hantaran Engku Muhammad Nur Shakir, namun percubaannya melambung tinggi.
Skuad gergasi Merah turut mengasak menerusi Ayron del Valle melakukan percubaan yang gagal ditangkap kemas Mohd Suhaimi Husin manakala Faisal Halim gagal membuat tindakan susulan.
Tindakan Quentin Cheng menjatuhkan Nurillo Tukhtasinov dalam kotak penalti membawa padah apabila Terengganu dihadiahkan sepakan penalti di penghujung separuh masa pertama.