Muhyiddin sahkan IPCMC dibentuk akhir tahun

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA,- Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dibentuk sebelum akhir tahun ini selepas pihak polis berpuas hati dengan penjelasan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, sebelum ini beliau dimaklumkan ada beberapa perkara yang kurang difahami dan mewujudkan kebimbangan termasuk soal kuasa, hak merayu, perkara berkaitan disiplin, dan seolah-olah pihak polis tidak ada kuasa langsung.

Namun, katanya pihak-pihak yang hadir dalam pertemuan dengan Ketua Pengarah GIACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed di Putrajaya pada Jumaat lepas berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

"(Ada) Perkara-perkara yang menjadi persoalan dan kemusykilan di kalangan pihak polis di semua peringkat termasuk persatuan. Dan dengan keputusan yang amat baik, maka IPCMC akan terbentuk nanti,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara baharu, di sini hari ini.

Abu Kassim baru-baru ini berkata penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhyiddin berkata penggubalan Rang Undang-Undang IPCMC sudah dimulakan dan dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Bagaimana yang dijangkakan, boleh dapat kita bentuk IPCMC sebelum akhir tahun kerana ada beberapa sesi Parlimen untuk membolehkan Rang Undang-undang IPCMC dibentang dan diluluskan di Parlimen," katanya.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM juga akan terus memperhalusi IPCMC itu sebelum kertas Kabinet yang akan disediakan GIACC dibawa ke perhatian jemaah menteri.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kebimbangan bahawa IPCMC akan diketuai oleh orang yang tidak mempunyai latar belakang polis, Muhyiddin berkata, "Apapun, kita akan putuskan nanti. Komposisi anggota IPCMC akan diselesaikan ketika kita bergerak ke depan.”

Muhyiddin yang turut ditanya mengenai laporan seramai 23 remaja perempuan Rohingya yang nyaris jadi mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia, berkata beliau tidak mendapat butiran berhubung kes tersebut.

Media asing melaporkan polis Bangladesh menyelamatkan 23 remaja perempuan selepas dibawa dari kem pelarian Cox's Bazar ke Dhaka sebelum dihantar ke Malaysia melalui jalan udara.

Menurut laporan yang memetik jurucakap polis itu, gadis-gadis berusia antara 15 dan 19 tahun itu dijanjikan pekerjaan di Malaysia, tetapi berkemungkinan dipaksa terlibat dalam aktiviti pelacuran. - Bernama