'Saya cuma ajak solat, apa pun saya dah maafkan...'

Adik kepada Mohd Mudakir, Hairuzaman (kanan) menunjukkan rakaman video yang tular di media sosial melibatkan abangnya itu.
Adik kepada Mohd Mudakir, Hairuzaman (kanan) menunjukkan rakaman video yang tular di media sosial melibatkan abangnya itu.
A
A
A

SIJANGKANG - "Saya hanya mahu menasihat dan mengajak mereka untuk menunaikan solat Asar. Apa pun yang sudah terjadi, saya maafkan sahaja," itu luahan Mohd Mudakir Abdul Wahid, 59, yang menjadi mangsa buli sekumpulan remaja lelaki di Batu 7, Kampung Sijangkang, di sini.

Menurutnya, dia menganggap remaja itu seperti cucunya dan tidak sama sekali menyimpan dendam kerana perkara ini sudah selesai.

Menceritakan tentang kejadian yang berlaku pada 7 Mei lalu itu, Mohd Mudakir berkata, awalnya dia hanya datang untuk menegur kumpulan remaja itu yang dilihat melepak di kawasan parkir padang bola sepak kampung berkenaan.

"Mula-mula saya datang sebelum masuk waktu Asar untuk ajak mereka solat dulu. Tapi tak diendahkan sebelum saya ke surau terlebih dahulu.

"Selesai solat Asar saya datang semula dan menegur remaja berkenaan sekali lagi, tetapi sebaliknya yang berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, di sini, hari ini.

Mohd Mudakir ditemani adiknya, Hairuzaman, 47 (kanan), serta ahli keluarganya ketika ditemui Sinar Harian di rumah di Batu 7 Kampung Sijangkang hari ini.
Mohd Mudakir ditemani adiknya, Hairuzaman, 47 (kanan), serta ahli keluarganya ketika ditemui Sinar Harian di rumah di Batu 7 Kampung Sijangkang hari ini.

Mohd Mudakir berkata, dia menganggap kejadian itu sudah biasa berlaku terhadap dirinya, namun tidak sangka berlaku kekecohan sehingga tular di media sosial.

Rentetan video yang tular itu, kira-kira jam 11 malam tadi, lima remaja bersama ibu bapanya datang ke rumah meminta maaf di atas perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah pekarangan rumah Mohd Mudakir turut dipenuhi kira-kira 1,000 penduduk kampung yang berang dengan perilaku terbabit.

"Semua remaja itu hadir bagi memohon maaf dan saya kemudian memaafkan perbuatan mereka, tiada dendam.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen berang video tular remaja buli warga emas

"Saya anggap tanggungjawab saya untuk menegur remaja berkenaan sebagai seorang Muslim. Saya rasa berdosa jika saya tak nasihatkan mereka untuk tunaikan tanggungjawab," katanya.

Tambah bapa kepada tiga anak itu, dia sememangnya sentiasa meronda bersama motosikalnya di kampung itu dan menegur remaja supaya melakukan aktiviti berfaedah terutama menunaikan solat apatah lagi ketika Ramadan.

"Namun, mungkin mereka hanya budak-budak dan saya juga turut mengenali ibu bapa mereka yang juga penduduk kampung sama.

"Saya tidak mahu memanjangkan perkara itu sehingga membuat laporan polis, mereka mungkin berniat untuk bergurau," katanya.

Sementara itu, anak bongsunya, Farah Nadia, 24, berkata, kejadian itu hanya diketahui ahli keluarganya dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Terkejut bila lihat video itu sebelum kami bertemu ibu bapa remaja terbabit di rumah mereka untuk mengetahui kejadian sebenar.

"Selepas ibu bapa remaja berkenaan melihat video itu, mereka terkejut dengan tingkah laku anaknya sebelum kesemua mereka hadir malam tadi ke rumah kami meminta maaf. Alhamdulillah, semua selesai malam tadi," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi seminit yang memaparkan beberapa remaja berusia belasan tahun membuli bekas pemandu lori berkenaan di kawasan parkir berdekatan padang bola sepak di kampung terbabit.

Selain itu, satu video turut tular memaparkan beberapa remaja itu dibawa untuk memohon maaf kepada mangsa dengan turut dipenuhi penduduk kampung.