KPDN sita kosmetik guna cap dagangan tanpa kebenaran

KPDN Kelantan menyita 328 unit kosmetik terdiri daripada krim, toner, serum dan peket kopi pracampuran di lokasi berasingan di Pasir Mas dan Kuala Krai pada Khamis.
KPDN Kelantan menyita 328 unit kosmetik terdiri daripada krim, toner, serum dan peket kopi pracampuran di lokasi berasingan di Pasir Mas dan Kuala Krai pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita 328 unit kosmetik terdiri daripada krim, toner, serum dan peket kopi pracampuran di lokasi berasingan di Pasir Mas dan Kuala Krai pada Khamis.

Operasi pada jam 12 tengah hari itu dilakukan di sebuah premis perniagaan kosmetik bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran daripada pemilik cap dagangan berdaftar.

Pengarahnya KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, rampasan keseluruhan bagi kedua-dua serbuan itu melibatkan RM8,387.55.

"Serbuan ini dilakukan selepas pihak kami menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kosmetik disyaki melakukan pelanggaran menggunakan cap dagangan berdaftar ditemui dalam operasi tersebut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) dan 100(1) (b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, kawalan dan jagaan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar pada barangan atau perkhidmatan.

Azman memberitahu, jika sabit kesalahan pemilik premis perniagaan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang manakala individu atau perseorangan didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya.

"Kita akan terus melaksanakan pemantauan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran dari pemilik cap dagangan berdaftar.

Artikel Berkaitan:

"Kami memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini,” katanya.