Semangat sambutan Hari Malaysia tidak mengira lokasi - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menyantuni kanak-kanak Tabika Kemas pada majlis penutupan Kembara Merdeka Desa Madani 2023 di Dataran Gemilang, pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Zahid menyantuni kanak-kanak Tabika Kemas pada majlis penutupan Kembara Merdeka Desa Madani 2023 di Dataran Gemilang, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Semangat sambutan Hari Malaysia perlu disemarakkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi atau keberadaan bagi memperingati hari bersejarah itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Biarpun majlis itu akan diadakan di Kuching, Sarawak tetapi kita di Semenanjung ini khususnya di Putrajaya wajib untuk menjayakan perayaan ini dengan semangat yang sama dengan rakyat yang berada di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika menutup Kembara Merdeka Desa Madani Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2023 di sini, pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, semangat patriotisme terhadap negara harus diterjemahkan dengan melibatkan komitmen yang tinggi daripada seluruh masyarakat bagi menyemarakkan bukan sahaja sambutan Hari Malaysia malah Hari Kebangsaan.

"Sambutan berkenaan bukan sahaja untuk menyuburkan semangat patriotisme tetapi mampu menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini," katanya.

Kanak-kanak Tabika Kemas yang menyertai acara pakaian beragam pada majlis penutupan Kembara Merdeka Desa Madani 2023 di Dataran Gemilang pada Jumaat. - Foto Bernama
Kanak-kanak Tabika Kemas yang menyertai acara pakaian beragam pada majlis penutupan Kembara Merdeka Desa Madani 2023 di Dataran Gemilang pada Jumaat. - Foto Bernama

Ahmad Zahid berkata, beliau mewajibkan KKDW untuk mengadakan Kembara Desa itu setiap tahun bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan warga kementerian dan rakyat Malaysia.

"Program ini adalah manifestasi dalam menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan komuniti terutamanya masyakat luar bandar sempena sambutan Bulan Kebangsaan negara,” katanya.

Kembara berkonsepkan jelajah berkonvoi motosikal 'kapcai' merentasi lima negeri bermula di Pulau Pinang kemudiannya Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan berakhir di Dataran Gemilang di sini juga bertujuan mempromosikan program-program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kepada orang ramai. - Bernama

Artikel Berkaitan: