Duit gaji habis, lelaki buat laporan palsu dakwa disamun

Suspek menunjukkan lokasi kononnya disamun dua lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian.
Suspek menunjukkan lokasi kononnya disamun dua lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian.
A
A
A

KEMAMAN - Helah seorang pembantu kedai perkakasan membuat laporan polis kononnya disamun dua lelaki dan mengalami kerugian RM2,200 akhirnya terbongkar.

Tindakan lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Pahang itu berjaya dihidu pihak polis setelah mendapati laporan dibuat adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan telah kehabisan duit gaji dan tidak mampu memberikan duit belanja kepada isterinya.

"Pihak polis mendapati pengadu sebenarnya telah kehabisan duit gaji dan tidak mampu berikan duit belanja kepada isterinya.

"Pengadu kemudian bertindak membuat laporan polis mendakwa disamun. Rantai dan loket emas yang dikatakan turut dilarikan penyamun sebenarnya masih ada di kedai emas dan belum diambil lagi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Menurut Hanyan, pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada anggota balai polis Pasir Gajah memaklumkan seorang pengadu membuat laporan disamun oleh dua lelaki kira-kira jam 4.20 petang.

Katanya, pengadu memberitahu tidak mengalami sebarang kecederaan namun kehilangan dompet, rantai dan loket emas bernilai RM700 yang dilarikan penyamun.

"Pengadu memberitahu dia disamun serta turut diacu pisau pada bahagian leher oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal berwarna merah hitam.

Artikel Berkaitan:

"Pengadu juga mengaku tidak dapat mengenal pasti suspek kerana memakai helmet, visor serta jaket berwarna hitam," katanya.

Hanyan memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan, denda sehingga RM2,000 jika sabit kesalahan.