Polis sahkan Chegu Bard ditahan

Mohd Shuhaily (tengah) hadir pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi, pada Khamis.
Mohd Shuhaily (tengah) hadir pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin berikutan keengganan beliau hadir untuk dirakam keterangan berhubung enam laporan terhadap dirinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, Badrul Hisham dikenali sebagai Chegu Bard, ditahan di Jalan Raja Laut, di sini, pada jam 8 malam, Khamis.

"Tangkapan dibuat di atas kegagalan beliau memberi kerjasama atas enam laporan polis serta lima kertas siasatan yang sedang disiasat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada Khamis.

Mohd Shuhaily, Chegu Bard disiasat berhubung beberapa laporan yang dibuat terhadapnya antaranya melibatkan ulasannya berkaitan isu rundingan konflik Malaysia-Indonesia membabitkan blok lautan Ambalat.

"Siasatan turut melibatkan pendedahannya di media sosial berhubung dokumen-dokumen sebuah jabatan kerajaan yang mengandungi maklumat sulit," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya telah cuba memanggil beliau beberapa kali, namun gagal.

"Kita kemukakan notis Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah, beliau menerima notis dan menandatanganinya, namun keengganan beliau hadir ke mana-mana balai untuk rakam percakapan.

"Kita tiada pilihan lain dan memohon waran tangkap, ini proses perundangan negara. kita terpaksa tangkap selepas dapat waran tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya akan menyelesaikan rakaman percakapan terhadap Chegu Bard secepat mungkin.

"Sekiranya beliau memberi kerjasama yang baik, tiada masalah rakaman percakapan selesai malam ini.

"Saya berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tangkapan Chegu Bard," katanya.