Ops Gempur Ramadan: JAINJ tahan 30 individu tak puasa

PPA JAINJ ketika membuat pemeriksaan dalam satu serbuan di kantin sebuah kilang sekitar Tampoi dan Tebrau, baru-baru ini.
PPA JAINJ ketika membuat pemeriksaan dalam satu serbuan di kantin sebuah kilang sekitar Tampoi dan Tebrau, baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tidak bersahur, bekerja dan menghidap gastrik antara alasan diberikan 30 umat Islam di Johor selepas ditahan pegawai penguatkuasa agama (PPA) menerusi Ops Gempur Ramadan yang memasuki hari kelapan, hari ini.

Turut ditahan empat individu dipercayai bertanggungjawab menyedia atau menjual makanan kepada umat Islam yang tidak berpuasa itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Halid Sono berkata, tangkapan itu adalah hasil daripada risikan dan maklumat orang awam melibatkan tindakan penguatkuasaan di 10 daerah negeri ini.

"Mereka yang tidak berpuasa ini berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun yang mana kebanyakannya ditahan di kantin kilang sekitar Tebrau dan Tampoi.

"Ketika ditahan, alasan yang diberikan adalah kerana tidak boleh berlapar, penat bekerja, sakit perut dan menghidap gastrik," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mereka yang ditahan tidak berpuasa itu disiasat mengikut Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, manakala peniaga disiasat mengikut Seksyen 15(a) enakmen yg sama.

Mengikut enakmen itu, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan kali pertama, manakala denda sehingga RM2,000 atau 12 bulan penjara bagi kesalahan kali kedua.

"Kita memandang serius berhubung perkara ini, seharusnya Ramadan menjadi bulan untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki diri dengan amal ibadat yang sememangnya memberikan pahala berlipat ganda.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap umat Islam di Johor akan lebih peka terhadap sensitiviti bulan Ramadan sekali gus menjadikan tangkapan ini satu pengajaran," katanya.

Beliau turut menasihatkan peniaga Muslim agar menjaga kesucian bulan Ramadan dengan tidak membuka premis makanan pada awal pagi.

"Janganlah memberi alasan untuk mencari keuntungan, sebaliknya hormatilah bulan Ramadan dengan mencari keberkatan," katanya.