Lima pengajaran kepada pembangkang selepas tewas di Sandakan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjelaskan terdapat lima perkara yang wajar dijadikan pengajaran buat pembangkang susulan kemenangan besar DAP dalam PRK Sandakan, kelmarin.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, pengajaran pertama adalah ahli Palimen pembangkang melakukan kesilapan strategi apabila menolak usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen untuk mengembalikan status Sabah dan Sarak kepada kedudukan tahun 1963 dengan meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini telah berkali-kali dinyatakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan DAP ketika berkempen bahawa ahli Parlimen pembangkang pimpinan UMNO dan Pas tidak berhak untuk bercakap mengenai hak Sabah dan Sarawak jika mereka menolak untuk menyokong pindaan Perlembagaan untuk mengembalikan Sabah dan Sarawak kepada kedudukan tahun 1963 sebagai tiga entiti bersama dengan Semenanjung Malaysia yang telah membentuk Persekutuan Malaysia,” katanya melalui kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Menang di Sandakan bukti rakyat terus sokong PH

Pengajaran kedua menurut Guan Eng, propaganda pembangkang bahawa mereka mampu memenangi kuasa peringkat Persekutuan dengan memainkan politik perkauman dan ekstremisme agama yang memecah-belahkan tidak mendapat sambutan di Sabah.

Malah katanya, pengundi terus berpihak kepada PH, DAP dan Warisan sehinggakan DAP menang buat kali pertama di semua daerah pengundian di Sandakan termasuk kubu BN sebelum ini iaitu undi pos Pulau Berhala dan Kampung Sim Sim, yang sebahagian besar mereka merupakan pengundi Muslim.

Ketiga pula katanya, pembangkang harus menyedari bahawa medium penyampaian penipuan melalui sebahagian akhbar dan media sosial kawalan mereka hanya berkesan untuk jangka masa pendek.

“Seperti kata pepatah, ‘Anda boleh menipu sesetengah orang sesetengah masa, anda boleh menipu semua orang sesetengah masa, tetapi anda tidak boleh menipu semua orang setiap masa’. PH mempunyai empat tahun untuk menjelaskan dan mendedahkan penipuan dan fitnah pembangkang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keempat kata Guan Eng, modal pembangkang yang memainkan isu pencapaian ekonomi tidak berhasil memandangkan ada ahli Parlimen yang berkempen masih terpalit dengan tuduhan korupsi.

“Kelima, kepimpinan itu penting. Siapakah alternatif daripada pembangkang untuk menggantikan Shafie atau Dr Mahathir? Kebanyakan pemimpin pembangkang sama ada sudah hilang kepercayaan rakyat kerana prestasi yang lemah atau tersangkut dengan skandal rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga merupakan Menteri Kewangan secara sinis mengharapkan agar pembangkang tidak mengambil iktibar terhadap lima pengajaran yang beliau kemukakan itu supaya dapat memberi kemudahan buat PH menang dalam PRU15 nanti.

PRK Sandakan menyaksikan calon DAP, Vivian Wong Shir Yee memperoleh 16,012 undi sekaligus menewaskan empat pencabarnya iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491), serta tiga calon bebas, Hamzah Abdullah (788), Chia Siew Yung (178) dan Sulaiman Abdul Samat (126).

Artikel Disyorkan