Ibu bapa jangan lalai dengan dunia teknologi - Muhammad Nasir

Muhammad Nasir
Muhammad Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa diingatkan agar tidak lalai dengan dunia teknologi sehingga mengabaikan kepentingan komunikasi secara bersemuka dalam keluarga.

Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, sangat malang sekiranya teknologi komunikasi yang wujud pada hari ini disalahgunakan.

"Ada dalam kalangan ibu bapa yang lebih suka menggunakan WhatsApp sehingga mengurangkan kemesraan antara keluarga.

“Jangan terlalu bergantung dengan teknologi terutamanya dalam hubungan dengan anak-anak kerana komunikasi bersemuka amat penting bagi menjaga hubungan kekeluargaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (A-ICON-STEAM 2023) Semarang, Indonesia pada 1 hingga 2 September lalu.

Persidangan tersebut merupakan acara perdana yang diselaraskan dengan Pameran Seni Digital Antarabangsa Ke-4 (ASEDAS 2023).

Selaku tokoh media tanah air, Muhammad Nasir turut berkongsi penglibatan beliau dalam industri media serta kewartawanan.

Beliau menjelaskan, kepesatan teknologi digital turut mengancam industri penerbitan dan percetakan di seluruh dunia.

"Bagaimanapun, mutakhir ini minat orang ramai untuk membaca terus dari bahan cetak mula menunjukkan peningkatan.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, jualan novel yang dahulunya pernah merudum daripada ratusan ribu naskhah kepada sekitar 5,000 naskhah kini mula menunjukkan peningkatan jualan hingga kembali mencecah puluhan ribu,” jelasnya.

Mengenai perkembangan teknologi, Muhammad Nasir turut menyarankan agar semua pihak bersedia mempelajari dan menyahut perkembangan terkini.

Menurutnya, Kumpulan Karangkraf berkembang sebagai syarikat percetakan dan penerbitan yang terbesar di Malaysia kerana sentiasa menyahut perkembangan teknologi.

“Kami merupakan syarikat penerbitan pertama di Malaysia yang menggunakan komputer untuk menggantikan susun atur yang dilakukan secara manual.

"Semua kakitangan Kumpulan Karangkraf sentiasa didedahkan kepada teknologi terkini melalui pameran di luar negara mahupun latihan yang berterusan. Selain itu, Kumpulan Karangkraf kini mengendalikan mesin cetak yang terbesar di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Presiden Pameran ASEDAS 2023 Antarabangsa, Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan berpendapat, ucapan Muhammad Nasir telah menimbulkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan menghadapi cabaran teknologi masa depan.

“Muhammad Nasir mengingatkan kita bahawa teknologi, termasuk dalam era kecerdasan buatan (AI) akan memberikan manfaat yang besar sekiranya digunakan secara betul dan begitu juga sebaliknya akan menjadi ancaman jika disalahgunakan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!