PWS agih peruntukan wakaf fisabilillah RM1.2 juta

Eksekutif Kutipan dan Agihan, Bahagian Korporat PWS, Ibnu Hubain Abdul Aziz (dua dari kiri) bergambar bersama guru di SK Bandar Banting selepas menyerahkan bantuan wakaf RM50,000 pada Khamis.
Eksekutif Kutipan dan Agihan, Bahagian Korporat PWS, Ibnu Hubain Abdul Aziz (dua dari kiri) bergambar bersama guru di SK Bandar Banting selepas menyerahkan bantuan wakaf RM50,000 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi mengagihkan sumbangan wakaf fisabilillah kepada 31 institusi di negeri itu sehingga Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Hamzah Tohar berkata, agihan itu merangkumi enam masjid, sembilan surau, 14 sekolah, sebuah hospital dan musala di bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Anuar berkata, sumbangan itu bertujuan membantu dari segi pembangunan, penaiktarafan, penambahbaikan, pembelian aset-aset kekal atau aset yang boleh memberi manfaat dengan tempoh hayat penggunaan sekurang-kurangnya lima tahun.

"PWS komited dalam menyediakan pelbagai platform untuk orang ramai mewakafkan harta sama ada dalam bentuk harta alih seperti wakaf tunai dan harta tak alih seperti tanah atau premis bagi tujuan meningkatkan dan mengembangkan pelaburan wakaf dalam bidang ekonomi dan merealisasikan pembangunan sosial demi kesejahteraan ummah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, katanya, PWS turut menyerahkan replika cek sumbangan wakaf fisabilillah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Banting bagi tujuan menaik taraf dewan sekolah berjumlah RM50,000 pada Khamis.

Ujar beliau, antara penerima sumbangan wakaf fisabilillah sebelum ini ialah Masjid Nurul Hasanah, Kuala Selangor, Surau Al- Munawir Kota Emerald, Rawang, Sekolah Kebangsaan Parit 4, Sungai Besar dan Hospital Banting.

"Sumbangan tersebut merupakan sebahagian inisiatif sumbangan fisabilillah PWS dalam mengoptimakan penyaluran wakaf dengan menyantuni institusi keagamaan, pendidikan dan kesihatan," jelas beliau.

Orang ramai yang ingin berwakaf boleh terus ke laman sesawang Wakaf Selangor Online https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp untuk berwakaf tunai atau melalui DuitNow QR.

Artikel Berkaitan: