MBI, XOX tambah stesen pengecasan EV di Ipoh

Pertukaran dokumen antara Rumaizi (dua dari kiri) dan Roy Ho (dua dari kanan) pada Majlis MoU Perkongsian Teknologi Strategik di antara MBI dan XOX Berhad di Bangunan MBI di Ipoh pada Khamis.
Pertukaran dokumen antara Rumaizi (dua dari kiri) dan Roy Ho (dua dari kanan) pada Majlis MoU Perkongsian Teknologi Strategik di antara MBI dan XOX Berhad di Bangunan MBI di Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menambah bilangan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di bandar raya ini menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat XOX Berhad.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, stesen pengecasan berkenaan akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik di sekitar bandar raya Ipoh memandangkan jumlah penggunaan EV semakin meningkat.

Menurutnya, bukan sahaja stesen pengecasan EV, kerjasama di antara MBI dan XOX Berhad itu turut melibatkan kemudahan lain termasuklah meningkatkan taraf pengangkutan awam melalui aplikasi elektronik digital.

"MoU ini juga akan meningkatkan taraf, penambahbaikan dan pengembangan semua kemudahan media 'Digital Out of Home' di dalam bandar raya Ipoh selain menubuhkan rangkaian pengiklanan digital.

"Kerjasama ini akan berterusan termasuklah mewujudkan stesen pengecasan EV di lokasi strategik," katanya kepada pemberita selepas Majlis MoU Perkongsian Teknologi Strategik di antara MBI dan XOX Berhad di Bangunan MBI di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif XOX Berhad, Roy Ho yang turut menandatangani MoU berkenaan bersama-sama Rumaizi

Dalam pada itu, Roy Ho berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan 50 hingga 200 stesen pengecasan EV secara berperingkat di Ipoh.

Menurutnya, ketika ini difahamkan terdapat kira-kira 300 EV yang digunakan di bandar raya ini.

Artikel Berkaitan:

"Perancangan kita antara 50-200 stesen akan dibina secara berperingkat sampai mencukupi untuk keperluan warga Ipoh.

"Ia bergantung juga kepada jumlah EV yang ada di Ipoh dan kita akan letak di lokasi yang strategik," katanya.