Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh susulan peningkatan sentimen pengguna yang mencetuskan kemungkinan akan berlaku lebih banyak lagi kenaikan kadar faedah AS.

Prestasi lemah ringgit itu sejajar dengan kebanyakan mata wang Asia lain yang susut pada Isnin berikutan data pertumbuhan ekonomi China yang lebih rendah daripada jangkaan, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.5340/5405 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5255/5280 pada Jumaat minggu lepas.

Ketua ahli ekonomi dan ketua kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit lemah berbanding dolar AS hari ini selepas melonjak tinggi minggu lepas susulan pengumuman indeks harga pengguna AS yang sederhana.

Faktor penyumbang lain adalah data pertumbuhan keluaran dalam negara kasar suku kedua China yang lebih rendah daripada jangkaan pada 6.3 peratus berbanding jangkaan pasaran pada 7.3 peratus, katanya.

"Akibatnya, yuan China (CNY) susut sebanyak 0.03 peratus kepada 7.1370 berbanding dolar AS. Memandangkan yuan dan ringgit mempunyai perkaitan yang rapat, ringgit juga turut menyusut hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 5.0971/1044 daripada 5.0799/0827 pada Jumaat minggu lepas, susut berbanding pound Britain kepada 5.9359/9444 daripada 5.9338/9371 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.2815/2864 daripada 3.2659/2679.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Unit tempatan menyusut berbanding baht Thai kepada 13.0984/1225 daripada 13.0689/0814 pada Jumaat minggu lepas, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4315/4366 daripada 3.4263/4287 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.33/8.35 daripad 8.31/8.33.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.9/302.5 daripada 302.5/302.8 sebelumnya. - Bernama