Agong, Permaisuri berangkat pulang ke ibu negara

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat pulang ke ibu negara menggunakan pesawat khas pada jam 4.22 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Rabu. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat pulang ke ibu negara menggunakan pesawat khas pada jam 4.22 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke ibu negara menggunakan pesawat khas pada 4.22 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

Berangkat sama anakanda Seri Paduka berdua Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai kenamaan tempatan hadir di lapangan terbang itu bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sultan Abdullah dan keluarga Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sebelum itu mengakhiri Kembara Kenali Borneo di Telok Melano, kira-kira 137 kilometer (km) dari sini, hari ini, setelah memulakan penjelajahan bagi mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak itu di Tawau, Sabah sejak 3 September lepas.

Program julung kali diadakan itu, yang mendapat sambutan luar biasa rakyat kedua-dua negeri itu, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!