Pemandu Grab dipenjara, didenda cuba curi motosikal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah cuba mencuri sebuah motosikal, seorang pemandu Grab dijatuhi hukuman setahun penjara dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Mohd Fairuz Mohd Roslan, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M Saravanan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 28 Oktober tahun lepas dan sebulan penjara, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa cuba mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha warna hitam milik T. Thanganurai, 20, di Taman Desa Pandan, Wangsa Maju di sini, kira-kira 12.30 tengah malam, 28 Oktober 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana merupakan penanggung tunggal keluarga.- Bernama

Artikel Berkaitan: