Pasangan kekasih antara ditahan edar dadah dalam pek jus minuman

Saravanan (tengah) bersama pegawai penyiasat kes menunjukkan dadah yang dirampas daripada tiga suspek pada Khamis lalu.
Saravanan (tengah) bersama pegawai penyiasat kes menunjukkan dadah yang dirampas daripada tiga suspek pada Khamis lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga individu termasuk sepasang kekasih diberkas polis selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dalam pek jus minuman khususnya untuk pelanggan pusat hiburan sekitar daerah Timur Laut, di sini pada Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata, kesemua mereka ditahan di tiga lokasi berbeza bermula jam 7 malam dan berjaya merampas 199 pek jus minuman berisi dadah methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM69,650.

Menurutnya, tangkapan pertama dibuat terhadap seorang lelaki dan kekasihnya warga Vietnam di tepi jalan Persiaran Karpal Singh di sini.

"Hasil soal siasat dilakukan daripada tangkapan pertama membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Jalan Sungai Pinang di sini sebelum menemui 183 pek jus minuman disyaki berisi MDMA berjumlah RM64,050.

“Susulan itu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan di hadapan sebuah premis di Pulau Tikus di sini dan merampas 16 pek jus minuman berisi MDMA, ketamin serta pil eramin 5,” katanya pada sidang akhbar di IPD Timur Laut di sini pada Rabu.

Saravanan berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit aktif sejak awal tahun 2023 dan mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati satu pek jus minuman berisi MDMA itu dijual pada harga RM350 kepada pengunjung pusat hiburan dan suspek dipercayai memperoleh keutungan separuh dengan penjualan setiap satu pek.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan suspek lelaki bagi tangkapan pertama mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM102,790 dan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1,032 penagih dadah jika ia berjaya dipasarkan.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.