‘TikTok tempat selamat sebarkan isu semasa’ - Ratu Naga

Ratu Naga
Ratu Naga
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Platform media sosial seperti TikTok merupakan tempat selamat kepada orang ramai menyebarkan isu semasa tanpa disekat oleh aplikasi tersebut seperti Facebook atau Instagram.

Penyedia Kandungan TikTok Pro Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga berkata, aplikasi TikTok mempunyai kawalan ketat dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pemegang akaun media sosial daripada disekat.

Menurutnya, ia bukan sahaja tempat untuk memberitahu atau melaporkan isu semasa, tetapi juga menjadi ruang kepada rakyat untuk meraih pendapatan tambahan.

“Jika dulu Twitter menjadi tempat untuk anak-anak muda caci maki sehingga melibatkan serangan fizikal, tetapi TikTok tidak begitu kerana ia antara yang selamat untuk orang ramai meluahkan ketidakpuasan hati mereka.

“TikTok juga adalah platform yang boleh mendatangkan pendapatan sampingan untuk rakyat Malaysia di mana sesiapa yang boleh membuat kandungan media atau Live berpeluang mendapat bayaran.

“PN tidak membayar sesiapa sebaliknya, rakyat sendiri yang bayar untuk mendapatkan pelbagai informasi semasa,” katanya dalam Wacana Siri 412 yang bertajuk ‘TikToker perosak politik atau bukan?’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Turut hadir sebagai panel ialah Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda, Wan Mahussin Wan Zain dan Naib ketua cabang PKR Kuala Selangor, Faizal Rahman.

Mengulas lanjut, menurut Ratu Naga, faktor kesedaran masyarakat yang kurang membaca menjadikan aplikasi TikTok platform meluahkan perasaan menerusi video berdurasi pendek sehingga menjadi popular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ujar beliau, rakyat menggunakan media sosial bagi meraih perhatian pemimpin dan juga ahli Parlimen mengenai isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang sehingga kini tidak diselesaikan secara tuntas.

“Apabila kita ingin luahkan banyak perkara dan tulis panjang lebar tiada siapa yang ingin baca, berbeza kalau kita buat video ia lebih mudah difahami kerana disertakan dengan reaksi serta emosi secara nyata.

“Walaupun kita banyak menerima pelbagai tohmahan, namun sokongan terhadap PN masih lagi kukuh sehingga kini,” katanya.