KMNR 2023 tampil 32 pembentangan kajian, model solusi isu semasa

Badlishah ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Konvensyen Malaysia Negara Rahmah (KMNR 2023) di Ideal Convention Center (IDCC), Seksyen 15 pada Jumaat.
Badlishah ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Konvensyen Malaysia Negara Rahmah (KMNR 2023) di Ideal Convention Center (IDCC), Seksyen 15 pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Konvensyen Malaysia Negara Rahmah (KMNR 2023) telah mengumpulkan lebih 20 institusi sebagai rakan kerjasama dan menampilkan 32 pembentangan yang berbentuk kajian serta model solusi terhadap isu-isu semasa dalam negara ini.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, penganjuran konvensyen itu selari dengan agenda Malaysia Madani yang mengupas isu ekonomi, integrasi nasional, kesejahteraan sosial, tadbir urus dan reformasi institusi bersama dengan pakar bidang dan pemegang taruh.

“Dianggarkan hampir seramai 500 orang menerima jemputan khas, penaja jemputan, media, panel pembentang, peserta dan petugas yang mengambil bahagian dalam menjayakan konvensyen ini.

“Konvensyen ini juga mengetengahkan model solusi yang praktikal berdasarkan pendekatan Rahmah berkaitan isu-isu kesenjangan yang kritikal dalam kalangan masyarakat untuk membangunkan Malaysia Madani.

“Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melakukan perubahan kepada masyarakat dan negara, Ikram sentiasa berusaha memainkan peranan penting dalam menjayakan Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Konvensyen Malaysia Negara Rahmah (KMNR 2023) di Ideal Convention Center (IDCC), Seksyen 15 pada Jumaat.

Dalam pada itu, Badlishah berkata, Ikram sendiri ingin melihat terbinanya sebuah negara Rahmah di Malaysia dengan agenda kebajikan dan pengislahan terus diberi keutamaan demi perubahan lebih baik serta positif untuk rakyat.

“Makna perkataan Rahmah ini mencakupi segala bentuk kebaikan dan kebajikan yang seharusnya disebar luas kepada semua manusia.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, Ikram mempunyai aspirasi mencapai ke arah kebaikan untuk membina sebuah negara yang makmur untuk rakyat Malaysia menggunakan konsep Rahmah.

“Melalui konsep Rahmah ini, ia dapat memperkenalkan imej Islam sebagai agama yang adil, sederhana dan santun terhadap semua manusia dan sekitarnya, selari dengan tujuan perutusan Rasulullah SAW sebagai rahmat untuk seluruh alam,” ujarnya.

Jelasnya, KMNR 2023 diharap mencapai objektif menjadi platform inspirasi bagi sesi berdialog, berkolaborasi serta mencari solusi isu-isu penting yang dihadapi negara dengan melibatkan aktivis-aktivis seluruh negara.