Dua warga Indonesia didakwa seludup 11 PATI

Sumardi (tengah) dan Zulkifli (kanan) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka pada Selasa.
Sumardi (tengah) dan Zulkifli (kanan) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Dua lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa, atas tuduhan menyeludup 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua yang masih hilang.

Tertuduh, Sumardi, 25, dan Zulkifli, 51, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Dalam pada itu, Mohd Sabri membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim untuk memindahkan perbicaraan kes ke Mahkamah Tinggi bagi dituduh dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh mencapai niat bersama telah menjalankan penyeludupan 11 imigran dan ketika melakukan kesalahan tersebut telah menimbulkan risiko kematian terhadap kesemua imigran berkenaan.

Perbuatan tersebut dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari di kawasan perairan sempadan Malaysia-Indonesia koordinat 02'00.491 utara 102'01.221 timur di sini, pada 15 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 26B(C) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 11 warga Indonesia termasuk seorang wanita yang hanyut di perairan sempadan negara berjaya diselamatkan oleh sebuah feri penumpang Indomal Kingdom.

Dalam kejadian itu, kesemua mangsa berusia antara 24 sehingga 51 tahun dipercayai menaiki sebuah tongkang sebelum karam.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu disedari kapten kapal, Feri Indomal yang ketika itu dalam perjalanan dari Dumai Indonesia.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan di kawasan sempadan perairan Indonesia, kapten feri terbabit ternampak kesemua mangsa dalam keadaan terapung di laut.