11 warga Indonesia hanyut diselamatkan

Christopher Patit
Christopher Patit
A
A
A

MELAKA - Seramai 11 warga Indonesia termasuk seorang wanita yang hanyut di perairan sempadan negara berjaya diselamatkan oleh sebuah feri penumpang Indomal Kingdom, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kesemua mangsa berusia antara 24 sehingga 51 tahun dipercayai menaiki sebuah tongkang sebelum karam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu disedari kapten kapal, Feri Indomal yang ketika itu dalam perjalanan dari Dumai Indonesia.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan di kawasan sempadan perairan Indonesia, kapten feri terbabit ternampak kesemua mangsa dalam keadaan terapung di laut.

"Pengadu dan kakitangan feri bertindak menyelamatkan semua mangsa yang masih hidup dan menaiki Feri Indomal Kingdom sebelum membawa mangsa ke jeti ICQS Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Jelas Christopher, mangsa wanita berusia 29 tahun yang mengalami sesak nafas telah dibawa mendapatkan rawatan lanjut ke hospital Melaka dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Seramai 10 lagi mangsa yang telah menjalani pemeriksaan di hospital sama akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: