'Masih terbayang saat diacu pisau di leher'

Liza menceritakan situasi cemas dialaminya ketika menjadi mangsa samun Ahad lalu.
Liza menceritakan situasi cemas dialaminya ketika menjadi mangsa samun Ahad lalu.
A
A
A

KLANG - "Ketika itu saya hanya mampu menangis kerana menganggap nyawa sudah berada di hujung tanduk."

Kata seorang wanita yang berdepan detik cemas ketika diacu sebilah pisau oleh penjenayah yang memecah masuk dan menyamun rumah keluarganya di Taman Sri Andalas di sini, Ahad lalu.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Liza, 49, berkata, ketika kejadian dia bersama ibu saudara, kakak dan seorang rakan di rumah milik arwah ayahnya itu.

"Kejadian lebih kurang jam 8.45 pagi, lepas sediakan sarapan di dapur, saya naik ke tingkat atas untuk mandi, ketika itu saya terserempak dengan suspek yang menggunakan baju menutupi wajahnya yang baru keluar dari salah sebuah bilik.

"Saya terkejut dan tak dapat berkata apa-apa selepas lihat dia, dia kemudiannya terus merentap tangan saya dan meletakkan pisau di leher sebelum mengheret saya turun ke bawah," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Katanya, suspek yang menyedari ada orang di tingkat bawah terus menjerit agar mereka tidak menghubungi polis.

"Suspek turut berteriak dengan mengatakan dia bertindak demikian kerana ibunya sakit serta mahu meminta wang daripada kami.

"Saya masa tu memang hanya mampu menangis dan merayu kepada suspek agar tidak mencederakan saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek kemudian melepaskan saya dan terus melarikan diri menerusi pintu hadapan.

"Kami berempat memang tak sempat nak berbuat apa-apa cuma ibu saudara saya yang sempat lari keluar rumah untuk meminta pertolongan.

"Antara barang yang disamun adalah lima utas jam tangan, dua tabung berisi duit syiling, dua bentuk cincin emas dan telefon bimbit berjenama dengan anggaran kerugian kira-kira RM8,000," katanya.

Liza berkata, laporan polis kemudiannya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berkaitan kejadian.

"Sehingga kini saya masih trauma dengan apa yang berlaku, nak tinggal rumah seorang diri memang saya tak berani sebab masih terbayang situasi kejadian tersebut.

"Kini saya menumpang sekejap di rumah ayah saudara untuk tenangkan diri seketika, masih terbayang saat pisau berada di leher, memang tak dapat nak gambarkan perasaan itu," katanya.