1,000 bas awam dijangka beroperasi di Lembah Klang akhir tahun ini

Anthony ketika hadir pada sidang akhbar di Hentian Bas Masjid Jamek pada Selasa. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Anthony ketika hadir pada sidang akhbar di Hentian Bas Masjid Jamek pada Selasa. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perkhidmatan bas di Lembah Klang akan ditambah secara berperingkat bagi menggalakkan lebih ramai warga kota menggunakan perkhidmatan itu menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 1,000 buah bas akan beroperasi setiap hari berbanding 766 yang ada ketika ini.

Menurutnya, jumlah bas yang ada itu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan populasi penduduk di Lembah Klang yang dianggar seramai lapan hingga sembilan juta orang.

"Untuk mengatasi masalah ini, Rapid KL sudah menemuduga operator daripada syarikat lain untuk menambah jumlah bas sedia ada melalui tender dan proses berkenaan sedang berjalan," katanya pada sidang akhbar di Hentian Bas Masjid Jamek di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai 11 projek pengangkutan dan logistik baharu diperkenalkan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan berdaya tahan hasil Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Isnin.

Anthony menambah, Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 4,000 buah bas untuk memenuhi keperluan pengguna dan efisien dari segi perkhidmatan.

“Jika lihat perbezaan, Singapura yang mempunyai 5.5 juta populasi kini mempunyai 5,500 bas beroperasi setiap hari dan jumlah itu lebih besar dari negara kita, namun saya yakin ia akan dapat ditambah akhir tahun ini.

“Melalui inisiatif kerajaan selain Rapid KL bawah Prasarana, Lembah Klang mempunyai perkhidmatan bas GoKL City Bus perkhidmatan percuma dibiayai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Bas Smart Selangor oleh kerajaan negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya laluan berintegrasi, kerjasama ini dapat membantu menambah jumlah pengguna pengangkutan awam terutama bas yang sekarang ini tak sampai 200,000 orang, pengguna rel 700,000 dengan keseluruhan jumlah kira-kira 900,000,” jelasnya.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai perkhidmatan bas Laluan 300 dari Pandan Indah ke Masjid Jamek, Kuala Lumpur, Anthony berkata, perjalanan sejauh 15 kilometer melalui Jalan Ampang menggunakan lorong bas itu membantu memendekkan waktu perjalanan.

“Melalui pengalaman saya menaiki bas ini pada waktu puncak, bas ini penuh. Ia adalah satu maklum balas baik kerana waktu perjalanan purata 40 minit berbanding lebih satu jam sebelum ini menjadikan bas ini pilihan utama orang ramai," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, ada beberapa masalah yang perlu diatasi iaitu sikap pengguna kenderaan persendirian yang gemar menggunakan lorong bas walaupun pihak berkuasa sudah meletakkan kon.

“Tindakan ini melambatkan perjalanan bas dan perkara ini kita akan bincangkan dalam jawatankuasa kabinet bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas bagaimana untuk atasi isu ini,” katanya.

Katanya, sebanyak 25 bas beroperasi di Laluan 300 menggunakan laluan bas sejak Julai lalu dengan kerjasama DBKL.

“Jumlah penumpang bas Laluan 300 pula bertambah daripada purata 12,936 setiap hari meningkat kepada 14,523 orang iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus dalam tempoh dua bulan. Jadi ini petanda yang baik supaya dapat galakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan bas,” katanya.