Bengkel IRAMA dapat sambutan hangat

Rozman (duduk, tiga dari kanan) bersama Ayob (duduk, empat dari kanan) dan Man Senoi (duduk, tiga dari kiri) bersama peserta yang hadir dalam program ini.
Rozman (duduk, tiga dari kanan) bersama Ayob (duduk, empat dari kanan) dan Man Senoi (duduk, tiga dari kiri) bersama peserta yang hadir dalam program ini.
A
A
A

USAHA Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mengadakan jelajah Bengkel Intensif Muzik Xpress mendapat sambutan menggalakkan daripada ramai anak muda.

Dianjurkan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Pulau Pinang bersama unit Rakan Muda/Rakan Muzik Daerah, bengkel itu diadakan di lima tempat antaranya Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Baling dan penutup di Pulau Pinang.

Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, bengkel yang dikhususkan kepada anak-anak muda daripada peminat muzik, pemuzik dan pencipta lagu/lirik berumur 15 ke 30 tahun itu berjalan dengan baik

"Pada awalnya ramai yang malu-malu dan kurang yakin untuk tonjolkan diri, tetapi apabila sesi ‘jamming’ santai bermula, ada yang memberanikan diri untuk mencuba menyerlahkan bakat yang ada terpendam.

"Apa yang penting, mereka teruja dengan beberapa ilmu dan info bagaimana menyertai industri muzik secara bijak sama ada untuk menjadikan sebagai kerjaya serius pada masa depan atau sekadar hobi," katanya yang sudah 30 tahun terlibat dalam dunia seni.

Menerusi bengkel ini juga, banyak tips dan panduan didedahkan oleh panelis yang sudah berpengalaman selama 30 hingga 40 tahun dalam industri muzik dan masih tetap aktif sehingga kini yang diketuai oleh Othman Masri atau nama popularnya Man Senoi.

Golongan muda memberikan sambutan hebat terhadap bengkel ini.
Golongan muda memberikan sambutan hebat terhadap bengkel ini.

Dia yang menaikkan nama kumpulan rap 4U2C membawakan topik cara mudah mencipta lagu, membuat gubahan muzik dengan minimum chord, asas mengenal alat muzik termasuk vokal, cara membuat rakaman dengan mudah menggunakan software, laptop dan alat-alat home studio.

Artikel Berkaitan:

"Saya kongsikan pengalaman lebih 40 tahun bergelumang sebagai komposer, penerbit dan penggubah lagu serta pernah menjadi pensyarah muzik dan teknologi audio di beberapa kolej dan universiti seperti Aswara dan LimKokWing.

"Kolej muzik Icon menjadikan saya berupaya mengenali bakat-bakat anak muda dalam bengkel dan memberikan kaedah-kaedah mudah serta nasihat berkenaan topik," ujarnya.

Bengkel ini diperkasakan lagi dengan pembabitan Rozman Abas, pemilik syarikat rakaman dan pengedaran digital Loonaq Records, yang bercerita topik berkenaan kenapa dan bagaimana mendaftarkan sesebuah lagu yang sudah dirakam bagi mendapatkan kad pengenalan digital atau ID kode.

Bukan itu sahaja, Rozman turut berkongsi kaedah-kaedah membuat pendaftaran samada secara terus atau melantik Badan Pengutip Royalti Persembahan Awam atau melantik pemborong digital (aggregator) bagi memasar atau monetize lagu di Spotify dan lain-lain platform muzik.

Selain Kedah dan Pulau Pinang, jelajah Bengkel Intensif Muzik Xpress turut diadakan di beberapa lokasi lain antaranya Kuala Pilah dan Paroi Negeri Sembilan serta Bukit Beruang Melaka menerusi kerjasama Jabatan Belia dan Sukan negeri terbabit.