Empat tokan dadah diberkas

Razlam (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas oleh pasukan BSJND Taiping.
Razlam (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas oleh pasukan BSJND Taiping.
A
A
A

TAIPING - Empat lelaki termasuk dua beradik disyaki tokan dadah ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Batu Kurau dan Kamunting, di sini minggu lalu.

Kesemua suspek yang berusia 39 hingga 50 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Taiping.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, dua beradik berusia 46 dan 39 tahun itu di tahan di rumah pusaka mereka di Batu Kurau, Sabtu lalu.

"Serbuan pada jam 1 pagi itu menemui 8 peket dadah disyaki heroin seberat 2.9kg bernilai RM45,000 di ruang tamu rumah tersebut.

"Lanjutan daripada itu, polis menyita kereta mewah berjenama Audi bernilai RM70,000, motosikal Yamaha Ego LC bernilai RM4,000 dan wang tunai RM400," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.

"Ujian saringan awal mendapati dua beradik ini positif methamphetamine.

"Siasatan lanjut juga mendapati mereka mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Razlam berkata, serbuan kedua pula menahan dua rakan berusia 50 tahun dan 40an serta merampas dua ketulan ganja mampat bernilai RM1,400 di Kamunting pada 9 Mei lalu.

"Ganja seberat 352 gram itu ditemui dalam dua bekas plastik di salah sebuah bilik rumah berkenaan.

"Turut dijumpai peket plastik lut sinar, gunting dan alat penimbang bertujuan untuk pembungkusan semula dadah sebelum dijual," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu dipercayai aktif mengedar sejak Januari lalu selain mempunyai rekod lampau dalam kes jenayah dan dadah.

"Polis menyita kereta jenis Proton Iswara bernilai RM5,000 dan ujian urin mendapati mereka turut positif ganja," katanya.

Razlam berkata, kesemua suspek telah direman dan kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.