Lagi mangsa penipuan 'phone scam' kerugian RM381,950

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seorang lagi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau 'phone scam' direkodkan di negeri ini membabitkan kerugian sebanyak RM381,950.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang wanita tempatan berusia 57 tahun yang merupakan seorang pengurus projek di sebuah syarikat swasta di Taiping semalam, setelah menyedari dirinya ditipu.

Menurutnya, mangsa telah diberitahu oleh suspek terdapat satu bungkusan yang mengandungi kad pengenalan, pasport, kad ATM dan 100 keping wang palsu atas nama mangsa yang dihantar kepada individu tidak dikenali di Sarawak pada 11 Ogos lalu.

"Mangsa telah bercakap dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat inspektor kononnya hasil semakan mereka mendapati mangsa terlibat dengan kes menjual akaun bank peribadi kepada penama tak dikenali dengan nilai RM20,000.

"Selepas itu, panggilan mangsa telah disambungkan kepada seorang lelaki menggelarkan diri sebagai Datuk yang memintanya mendedahkan semua maklumat akaun bank agar akaun milik mangsa tidak dibekukan dan akibat ketakutan, wanita itu memberikan semua maklumat lapan perbankan miliknya termasuk maklumat kad kredit mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, panggilan turut disambungkan kepada seorang lagi pegawai polis Bukit Aman bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) untuk meyakinkan mangsa.

"Mangsa turut diminta mendedahkan slip gaji milik mangsa selama empat bulan, salinan e-filing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), salinan geran tanah, kereta dan barangan kemas yang ada pada mangsa kononnya bagi tujuan siasatan.

"Mangsa juga diarahkan membuat pinjaman peribadi dan mangsa telah membuat pinjaman RM100,000 dan telah membuat pindahan kepada akaun bank yang diberikan suspek di Bank Islam (RM50,000) dan HSBC (RM50,000)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa kemudiannya menyedari ditipu selepas semakan dibuat mendapati terdapat 18 transaksi pindahan wang berjumlah RM381,950 ke atas 11 akaun yang tidak dikenali telah dilakukan bermula 18 Ogos hingga 6 Sept lalu.

"Sepanjang tempoh itu mangsa tidak dapat mengetahui transaksi yang dilakukan memandangkan akses ke akaun dalam kawalan sindiket secara dalam talian.

"Kita telah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan sehingga kini," katanya. - Bernama