Bot laju penumpang seludup rokok

No Image Caption
A
A
A

LABUAN - Sejumlah rokok, yang diseludup dalam sebuah bot laju penumpang, dirampas pada hujung minggu lepas apabila polis marin menjumpai sebuah beg plastik hitam berisi 15 kartun rokok tersorok di bawah bahagian minyak bot itu.

Ketua Komander Polis Marin Labuan (Wliayah 4), ACP Mohamad Pajeri Ali, berkata, tiada tangkapan dibuat semasa Op Gelora Khas itu yang dilakukan pada pukul 4.00 petang, Sabtu lepas.

“Semasa menjalani siasatan dan pemeriksaan ke atas penumpang, juragan dan anak kapal berkenaan, tidak seorang pun daripada mereka mengaku terbabit dalam penyeludupan rokok itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, meskipun nilai rampasan itu hanyalah RM3,750, agensi penguatkuasaan itu berjaya mengesan satu lagi modus operandi penyeludup kecil-kecilan.

"Kami akan bekerja sama dengan semua pemberi maklumat bagi menangani isu penyeludupan yang berlanjutan oleh penumpang, juragan atau anak kapal dalam bot penumpang.

"Bertindak atas maklumat orang ramai, kami dapat bertindak pantas dan menghalang penyeludupan itu daripada sampai ke destinasinya.

“Kami tahu aktiviti penyeludupan memberi keuntungan besar kepada penyeludup tetapi ia memberi kesan kepada hasil kerajaan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.- Bernama

Artikel Berkaitan: