KD Pahang patah cubaan curi hasil laut negara

Pemeriksaan dilakukan ke atas bot nelayan Vietnam sejurus ditahan.
Pemeriksaan dilakukan ke atas bot nelayan Vietnam sejurus ditahan.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah bot nelayan Vietnam bersama tekong dan 13 awak-awak ditahan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Pahang kerana menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan negara ini, kelmarin.

Bot terbabit ditahan di lokasi 130 batu nautika Timur Laut Kemaman ketika sedang menunda pukat.

Pegawai Memerintah KD Pahang, Komander Mehamad Khairun Zakaria berkata, menyedari kehadiran kapal pihak berkuasa, bot tersebut cuba melarikan diri untuk memasuki sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara namun berjaya dipintas sebelum ditahan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tersebut dari Vietnam dan menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan tanpa kebenaran.

“Kita turut menahan 14 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berusia 20 hingga 40 tahun kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

“Bot dan nelayan asing yang ditahan dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas dikesan dan menangkap ikan dalam perairan negara.
Bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas dikesan dan menangkap ikan dalam perairan negara.

Artikel Berkaitan:

Mehamad Khairun berkata, kejayaan itu susulan usaha KD Pahang meneruskan rondaan di perairan Pantai Timur Semenanjung selepas selesai melaksanakan latihan bersama Armada TLDM pada siri latihan Operational Sea Training Exercise (OSTEX) 6/19 tempohari.

Katanya, rondaan tersebut turut disertai pegawai dan anggota APMM.

“TLDM sentiasa bersiap siaga dengan memastikan rondaan berterusan setiap hari sepanjang tahun bagi memastikan perompak khazanah negara ini tidak bertindak dengan sewenang-wenangnya menceroboh serta mengaut hasil laut negara secara haram dan tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, penceroboh dan pencuri khazanah negara tidak pernah berehat, begitu juga warga KD Pahang yang tidak akan berhenti menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara agar sentiasa terpelihara.