MAIS peruntuk RM25 juta tangani masalah sosial

Abdul Aziz sambil diperhatikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Datuk Hashim Meon (kanan), dan Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar menandatangani plak perasmian pada Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2023 di sini pada KSL Esplanade Hotel Klang pada Ahad.
Abdul Aziz sambil diperhatikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Datuk Hashim Meon (kanan), dan Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar menandatangani plak perasmian pada Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2023 di sini pada KSL Esplanade Hotel Klang pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM25 juta pada tahun ini dalam usaha menangani masalah sosial di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peruntukan zakat asnaf riqab itu disalurkan bagi membantu dan membimbing golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

Menurut beliau, MAIS sehingga Ogos lalu telah membantu seramai 2,205 golongan asnaf riqab melalui bimbingan dan bantuan kebajikan bagi golongan terbabit.

"MAIS juga telah melantik seramai 143 guru pembimbing al-Riqab bagi membantu mereka kembali ke jalan benar dan diredai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Abdul Aziz menjelaskan, peruntukan itu diberikan berdasarkan sumbangan geran pemulihan kepada rumah pemulihan riqab, program kursus dan latihan asnaf riqab, perkhidmatan guru pembimbing riqab dan sumbangan kebajikan kepada asnaf riqab yang terkesan (bencana alam dan kematian pengurusan jenazah).

"Selain itu, peruntukan itu termasuk program-program pemulihan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh tiga rumah pemulihan Majlis dan 25 rumah pemulihan ar-Riqab di bawah MAIS yang berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dari pelbagai kategori," tambah beliau.

Beliau memberitahu, asnaf riqab merupakan seseorang terbelenggu dengan masalah sosial dan masalah aqidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan orang Islam yang terpesong agamanya.

Sehubungan itu, katanya, bagi memberi peluang umat Islam mendekati golongan asnaf riqab, MAIS mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab yang diadakan bermula 1 September sehingga 30 September ini.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai program dan aktiviti yang dirangka antaranya ialah forum riqab, ceramah kesedaran kesihatan, program bimbingan asnaf riqab dan pelbagai program secara fizikal dan secara dalam talian," jelas beliau.