Graduan KV tak digalak ceburi ekonomi gig sebagai kerjaya tetap

Graduan KV yang mempunyai kemahiran tinggi amat diperlukan dalam industri dan pasaran pekerjaan. - Foto 123RF
Graduan KV yang mempunyai kemahiran tinggi amat diperlukan dalam industri dan pasaran pekerjaan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 10 peratus graduan Kolej Vokasional (KV) seluruh negara memilih bekerja dalam sektor ekonomi gig sebagai punca pendapatan tetap sebaik menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia, Supian Mahmood berkata, situasi itu dilihat memberi kesan kepada tenaga kerja dalam bidang kemahiran yang amat diperlukan dalam negara pada masa ini.

"Graduan KV tidak digalakkan menjadikan ekonomi gig sebagai kerjaya tetap, sebaliknya hanya bekerja sambilan atau sambil belajar sebelum meneruskan pekerjaan dalam bidang dipelajari semasa di KV," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Terbuka Kolej Vokasional Kuala Selangor di Kolej Vokasional Kuala Selangor di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, Supian memberitahu, graduan KV yang mempunyai kemahiran tinggi amat diperlukan dalam industri dan pasaran pekerjaan.

Supian (duduk, tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Hari Terbuka Kolej Vokasional Kuala Selangor di Kolej Vokasional Kuala Selangor pada Ahad.
Supian (duduk, tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Hari Terbuka Kolej Vokasional Kuala Selangor di Kolej Vokasional Kuala Selangor pada Ahad.

"Pelajar telah diasuh dan dibimbing dengan pendidikan kemahiran dan kita berharap mereka dapat meneruskan kerjaya mereka dalam bidang kemahiran.

"Jika ini berlaku, kita bimbang negara kepupusan tenaga kerja mahir dalam jangka panjang sekiranya graduan KV tidak berminat kerja dalam bidang masing-masing atau menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, pada masa ini, graduan yang memilih ekonomi gig untuk meraih pendapatan tetap masih rendah berbanding kadar kebolehpasaran 90 peratus graduannya yang mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Ujar beliau, kira-kira 90 peratus daripada 10,000 pelajar KV tahun lalu sudah mendapat tawaran pekerjaan.

"Daripada jumlah itu, 70 peratus graduan bekerja dalam bidang yang dipelajari semasa di KV, 20 peratus menyambung pengajian, manakala baki 10 peratus lagi sebagai usahawan dan bekerja sendiri," jelas beliau.