Fikir masak-masak jika pilih perubatan sebagai kerjaya - MMA

Dr Muruga Raj
Dr Muruga Raj
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai menasihatkan individu yang ingin menjadikan bidang perubatan sebagai kerjaya, perlu berfikir secara mendalam sebelum memasuki alam pekerjaan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang sesiapa untuk meneruskan impian untuk menjadi doktor atau berkaitan dengannya, namun mereka perlu teliti terlebih dahulu supaya tidak berlaku penyesalan.

"Sekiranya anda meminati bidang perubatan dan ingin menjadi seorang doktor maka lakukannya, tetapi ketahui apa yang terlibat dalam pekerjaan itu sebelum membuat keputusan untuk mengambilnya," katanya ketika memberi ucapan pada Persidangan Bimbingan Kerjaya MMA, pada Sabtu.

Tambah Dr Muruga, terdapat ramai pelatih baharu mengetahui bahawa kerjaya dalam bidang perubatan bukan pilihan tepat untuk mereka.

"Jadi untuk mengelakkan lebih banyak keciciran atas sebab-sebab ini, penting untuk mengetahui lebih awal, jika perubatan atau mana-mana profesion yang akan menjadi pilihan kerjaya yang tepat untuk anda.

"Ia penting untuk merasai kegembiraan dalam melakukan tugas bagi memperoleh kecemerlangan," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pegawai perubatan, Dr Patricia Ann Devadass turut bersetuju dengan pandangan Presiden MMA itu.

Jelasnya, ibu bapa dan anak perlu sedar mengenai komitmen, pengorbanan dari segi masa ketika memegang tanggungjawab sebagai doktor

"Walaupun waktu kerja anda mungkin lapan jam setiap hari, akan ada masanya anda perlu tinggal lebih lama, contohnya apabila terdapat kes kecemasan.

"Sebagai doktor, keutamaan tertinggi anda adalah pesakit. Mereka didahulukan. Terdapat banyak cabaran yang mungkin anda hadapi dalam kerja tetapi anda mendapat banyak kepuasan peribadi dalam membantu seseorang atau menyelamatkan nyawa,'' katanya.