Warga emas maut dilanggar motosikal ketika lintas jalan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Seorang lelaki warga emas maut dilanggar sebuah motosikal ketika melintas Jalan Patau-Patau, berhampiran Jambatan Sebor Saguking di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu menyebabkan mangsa, Abdillah Abas, 65, yang beralamat di Kampung Gersik, di sini, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Labuan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang lelaki berusia 26 tahun itu, yang juga penghantar p-hailing sedang dari arah Patau-Patau menghala ke pusat bandar telah terlanggar mangsa yang datang dari pembahagi jalan dipercayai ingin melintas jalan.

"Penunggang itu cedera parah dan dirawat di hospital sama manakala kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil membantu polis bagi melengkapkan siasatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: