Dua maut nahas tiga kenderaan

Keadaan kereta dan salah sebuah motosikal yang terlibat dalam kemalangan meragut dua nyawa di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Datuk Rashid di sini pada malam Sabtu. (Gambar kecil: Maung Thein Tun dan Dau Hau Za Lian)
Keadaan kereta dan salah sebuah motosikal yang terlibat dalam kemalangan meragut dua nyawa di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Datuk Rashid di sini pada malam Sabtu. (Gambar kecil: Maung Thein Tun dan Dau Hau Za Lian)
A
A
A

KUANTAN - Dua maut dan empat dilaporkan cedera dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Datuk Rashid di sini pada malam Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.45 malam itu, penunggang dan pembonceng warga Myanmar, Dau Hau Za Lian, 38 dan Maung Thein Tun, 41 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penumpang kereta jenis Proton Saga, Nur Ezzatul Farhah Abd Aziz, 27 dari Taman Seriku, Batu 12 Jalan Gambang di sini dilaporkan parah manakala dua anaknya berusia lapan dan empat tahun cedera.

"Pemandu kereta yang juga suami Nur Ezzatul Farhah, Mohamad Alif Idham Ramli, 27 tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Seorang lagi penunggang berusia 17 tahun hanya mengalami cedera ringan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Balok.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dari arah sebuah stesen minyak berhampiran bertindak melintas jalan dari kiri ke laluan bertentangan.

"Penunggang dipercayai cuba melintas jalan utama untuk menyeberang ke laluan bertentangan menggunakan laluan tikus di tengah pembahagi jalan.

Artikel Berkaitan:

"Ekoran jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta gagal mengelak lalu terlanggar motosikal dinaiki mangsa itu," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang remaja berusia 17 dari arah sama turut terlanggar motosikal mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

"Mangsa yang cedera dihantar menerima rawatan di hospital sama dan salah seorang (mangsa parah) berada dirawat di wad kecemasan zon merah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.