'PH perlukan UMNO untuk menang PRK Pulai' - Nur Jazlan

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerja keras UMNO Bahagian Pulai memujuk akar umbi untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH) membuahkan hasil apabila sebanyak 10,000 undi Melayu diterima PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, walaupun pada mulanya segelintir masih ragu-ragu dengan keputusan UMNO dengan PH namun ia berjaya diatasi dan kini mereka menerima Kerajaan Perpaduan.

"Daripada jumlah 48,823 undi yang diterima calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, secara analisis mudah, lebih kurang 10,000 undi datangnya daripada pengundi Melayu khususnya ahli akar umbi UMNO.

"Angka itu menunjukkan gerak kerja jentera UMNO Pulai akhirnya berjaya memberi penerangan dan pencerahan serta sedikit sebanyak mampu berikan keyakinan kepada pengundi Melayu tentang kerjasama politik BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai memberitahu angka undi Melayu pada PRK Pulai ini berikan petunjuk yang lebih jelas tentang kedudukan sokongan orang Melayu kepada calon PH.

"Saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pulai berjanji untuk 'pujuk' orang UMNO sokong calon PH dan akhirnya berkat kerja keras pucuk pimpinan bahagian dan cawangan UMNO Pulai, kita akhirnya berjaya berikan sedikit keyakinan dan membuka mata ahli akar umbi tentang perlunya kerjasama BN-PH demi kelangsungan politik UMNO.

"Itu satu isyarat bahawa ahli akar umbi UMNO masih wala' atau setia kepada aspirasi kepimpinan bahagian dan cawangan," katanya.

PH berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila calonnya, Suhaizan Kayat, disahkan menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 18,641 undi.

Artikel Berkaitan:

Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor memperoleh 48,283 undi, berbanding Zulkifli Jaafar daripada PN memperoleh 29,642 undi manakala Samsudin Mohamad Fauzi daripada Bebas pula meraih 528 undi.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara menambah, mengikut analisis dibuatnya di 40 peti undi di Parlimen Pulai, biarpun calon PH hanya memperoleh 10,000 undi daripada pengundi Melayu dan UMNO, namun angka itu tetap signifikan.

"Undi Melayu sebanyak 10,000 diterima PH di Pulai itu adalah pengundi yang nyata, 'solid' dan memang berpihak kepada UMNO Pulai sejak Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

"Pada PRU15 saya dapat 30,000 undi, jadi kalau ikut matematik mudah; 10,000 pengundi 'hardcore' UMNO, 9,000 pengundi Melayu UMNO pergi Perikatan Nasional (PN) dan baki 10,000 lebih Melayu lagi yang tak keluar mengundi adalah mereka yang tak mahu undi PH mahupun PN.

"Sebanyak 10,000 undi Melayu yang Suhaizan terima kelmarin membabitkan peti undi di DUN Perling dan Kempas yang majoritinya datang dari ahli UMNO Pulai. Mereka ini tetap setia dan ikut kemahuan pucuk pimpinan UMNO Pulai untuk beri sokongan kepada Suhaizan," katanya.